Pengguna, peniaga jangan persia kebenaran diberi kerajaan

0
105

PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mahu masyarakat pengguna terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas 17 sektor perniagaan peruncitan dibuka semula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pematuhan SOP oleh pengguna dan pengusaha premis perniagaan penting bagi memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Justeru, beliau berkata, kementeriannya mengingatkan kepada pengguna dan pemain industri dalam sektor berkenaan supaya sama-sama berganding mahu membantu kerajaan memerangi penularan virus itu.

“Kita harap kebenaran pembukaan semula aktiviti perniagaan ini terutamanya kebenaran makan dalam premis restoran dan kedai makan tidak disalah guna dan semua premis perniagaan perlu mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Semalam, kerajaan membenarkan keseluruhan baki perniagaan dalam sektor peruncitan kembali beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bermula hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata antara baki sektor peruncitan yang dibenarkan kembali beroperasi termasuklah kedai pakaian, fesyen dan aksesori, kasut, barangan dan perkhidmatan fotografi, barangan terpakai, kedai bunga atau nurseri, kraftangan dan cenderahati serta kedai antik.

Selain itu, kedai alat permainan, permaidani, kedai kandungan kreatif atau peralatan industri kreatif, barangan aktiviti luar, peralatan sukan, barangan rumah dan peralatan dapur, kosmetik, penjagaan kulit dan minyak wangi, kedai tembakau, aksesori kenderaan dan Ar-Rahnu.

Alaxender berkata, pihaknya berharap pembeli dan pengguna bekerjasama mematuhi SOP seperti sentiasa memakai pelitup muka, mendaftar kehadiran dengan MySejahtera, menjaga penjarakan fizikal, mencuci tangan dengan cecair sanitasi dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

Katanya, kementerian akan terus memantau dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) kepada pemilik perniagaan yang gagal mematuhi SOP.

“Sehingga Ahad lalu, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP mengadakan sebanyak 357,489 pemeriksaan pematuhan SOP terhadap premis perniagaan diseluruh negara.”

“Daripada jumlah itu sebanyak 112 premis perniagaan dikenakan kompaun mengikut Akta 342 kerana gagal patuh SOP,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here