Penghijrahan ke Selangor tingkat penggunaan air

0
98

KUALA LUMPUR: Kadar penghijrahan penduduk dari negeri lain ke Selangor memberi kesan terhadap penggunaan air di negeri itu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata infrastruktur pembangunan dan perindustrian adalah antara faktor tarikan penduduk luar Selangor termasuk warga asing tinggal di negeri itu untuk bekerja.

Peningkatan kadar penghijrahan, katanya, merangsang kewujudan lebih banyak kemudahan di negeri itu.

“Selangor adalah negeri tumpuan dan mempunyai kadar pertambahan rakyat yang setara dengan negeri lain, selain menerima kadar perpindahan penduduk dari negeri lain yang sangat tinggi.

“Penghijrahan bermula pada 1970-an terutama dari negeri berhampiran. Apabila wujudnya infrastruktur seperti jalan raya yang baik, perpindahan meningkat diikuti dengan kemudahan seperti institusi pendidikan dan peluang pekerjaan di Selangor.

“Ini bukan sahaja meningkatkan penggunaan air dan kemudahan domestik lain seperti pengurusan sampah, tetapi pada masa sama harus diwujudkan peluang ekonomi merangkumi industri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Air Selangor dan Indah Water Konsortium bagi Pembangunan Air Pulih Guna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Dr Zaini Ujang.

Amirudin berkata, walaupun kadar pelaburan tinggi mendorong peningkatan pembangunan dan industri berkali ganda sehingga menarik pekerja dalam dan luar negara, bekalan air perlu dipastikan dalam keadaan sempurna.

Keadaan itu, katanya, membuatkan penggunaan air meningkat bagi sektor perindustrian.

“Untuk memastikan bekalan air sempurna, kita harus melihat beberapa model negara lain antaranya negara maju yang mula mengasingkan penggunaan air domestik dan air untuk industri.

“Kerajaan Negeri Selangor terus berusaha memastikan semua aspek infrastruktur ini ditambah baik dengan kerjasama erat semua pihak berkepentingan dari semasa ke semasa.

“Ia termasuk usaha kerajaan negeri melaksanakan beberapa inisiatif tahun ini bagi memastikan bekalan air berterusan dan lestari kepada lebih 8.4 juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya menerusi Skim Jaminan Air Mentah atau singkatannya SeJAM,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here