Pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Senai nikmati parkir percuma sehingga 31 Julai

0
30

JOHOR BAHRU: Pengunjung Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) kini boleh menikmati kemudahan parkir secara percuma mulai 12 tengah hari hingga 2 petang dan dari 6 petang hingga 8 malam sepanjang minggu, bermula hari ini sehingga 31 Julai, 2020.

Pengendali LTAS, Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (SATSSB), menerusi kenyataan hari ini berkata tawaran tersebut adalah sebahagian usaha untuk menarik pengunjung tempatan serta membantu perniagaan peruncit dan pengendali makanan dan minuman yang menghadapi tempoh kelembapan sejak beberapa bulan lepas.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SATSSB, Kennedy Ayu berkata menerusi usaha itu, pihaknya berharap dapat menggalakkan lebih banyak permintaan terhadap perniagaan runcit serta makanan dan minuman di LTAS sementara jumlah penumpang mulai meningkat.

“Kami juga ingin menyakinkan pengunjung bahawa semua prosedur dan langkah pencegahan (COVID-19) telah dilaksanakan di samping mematuhi saranan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

“Ini termasuk mewajibkan semua pengunjung mendaftar bagi tujuan penjejakan kontak melalui imbasan kod QR, memakai penutup hidung dan mulut serta pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki lapangan terbang,” katanya menerusi kenyataan yang sama.

Beliau berkata LTAS juga telah menandakan jarak bagi menggalakkan penjarakan sosial, selain menyediakan cecair pembasmi kuman, di samping meningkatan rutin pembersihan terutama di kawasan tumpuan ramai.

Menurut SATSSB pengunjung layak mendapatkan kemudahan parkir secara percuma itu menerusi sebarang pembelian tanpa nilai minimum dari mana-mana peruncit atau kedai makanan dan minuman di LTAS.

Pengunjung boleh mengesahkan tiket parkir dengan mengemukakan resit sebagai bukti pembelian di Kaunter Informasi LTAS, menurut syarikat itu.

LTAS kini menempatkan 24 jenama runcit serta 16 kedai makanan dan minuman citarasa tempatan dan antarabangsa sekali gus memberikan pengalaman membeli-belah, makan dan minum yang selesa untuk para penumpang dan masyarakat setempat, kata SATSSB.

Lapangan terbang itu berfungsi sebagai pintu masuk bagi Iskandar Malaysia dan wilayah selatan malah kini menempatkan operasi lima syarikat penerbangan.

SATSSB merupakan ahli kumpulan MMC Corporation Bhd — syarikat utiliti dan infrastruktur terkemuka yang menjalankan perniagaan dalam empat bahagian iaitu pelabuhan dan logistik; tenaga dan utiliti; kejuruteraan serta pembangunan industri.

Sumber: BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here