Peniaga durian disaman sebanyak RM1000 setiap seorang

0
3847

JASIN: Dalam keghairahan peniaga durian di daerah ini melayan sambutan amat baik pelanggan terhadap raja buah itu, dua daripada mereka didenda RM1,000 setiap seorang kerana gagal mempamerkan tanda harga.

Dua peniaga berusia lingkungan 40-an itu dikesan melakukan kesalahan itu dalam pemeriksaan dijalankan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka di beberapa lokasi di daerah ini hari ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, pemeriksaan itu dijalankan berikutan aduan pengguna mengenai sesetengah peniaga durian tidak meletakkan tanda harga pada jualan mereka, dikhuatiri cuba mengeksploitasi harga.

Katanya, denda berkenaan dikenakan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

“Pengguna mendakwa ada peniaga sengaja tidak mahu meletakkan tanda harga kerana bimbang pelanggan tidak mahu singgah atau berhenti untuk membeli jika mereka berbuat demikian atau mahu mengenakan harga lebih tinggi kepada pengguna,” katanya.

Beliau menjelaskan, tumpuan pemeriksaan adalah kepada penjualan durian kerana musim raja buah itu sudah bermula sejak minggu lalu dan dijangka berterusan hingga hujung Ogos depan.

Katanya, pemeriksaan seumpama itu bukan untuk menganiaya peniaga durian, sebaliknya bagi menjaga kepentingan pengguna dan peniaga kerana kedua-dua pihak saling memerlukan.

“Pemeriksaan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa, bukan setakat di daerah ini, malah Melaka Tengah dan Alor Gajah,” katanya.

Beliau meminta pengguna supaya membuat aduan kepada pejabat kementerian itu jika mengesyaki ada peniaga durian mengeksploitasi harga dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here