Penjara 20 tahun, RM5,000 denda ajar buat bom

0
38

KUALA LUMPUR: Serong lelaki warga Indonesia dihukum penjara 20 tahun dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, selepas mengaku bersalah atas tuduhan memberi latihan dalam pembuatan bom bagi persediaan melakukan perbuatan pengganas, tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Amru Lubis, 50, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah ketika kes ditetapkan untuk sebutan semula.

Terdahulu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan denda RM5,000 bagi tuduhan memberi latihan penyediaan bahan letupan, manakala bagi tuduhan memiliki item berkaitan pengganas Daish, tertuduh dipenjara dua tahun.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh tangkap pada 7 Mei 2019.

Muhammad Amru turut diperintahkan menjalani tambahan hukuman penjara lima bulan, sekiranya gagal membayar denda dan telefon bimbit tertuduh dilucut hak kepada mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan pertama, Muhammad Amru didakwa bersetuju memberikan latihan dalam penyediaan bahan letupan kepada ahli kumpulan WhatsApp ‘sejati sejiwa’ dalam persediaan untuk melakukan sesuatu perbuatan mengganas.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130F(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 30 tahun atau denda.

Manakala bagi pertuduhan kedua, Muhammad Amru didakwa memiliki item berkaitan kumpulan pengganas Daish di dalam telefon bimbit miliknya.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan dilucut hak ke atas item berkenaan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Taman Subang Mas, Kuala Lumpur pada 6.12 petang 7 Mei 2019.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dijatuhi hukuman ringan dengan alasan mempunyai keluarga di Indonesia dan tiga anak masih bersekolah.

“Saya berjanji akan melupakan perkara itu dan memulakan kehidupan baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin membantah rayuan itu dan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman pemenjaraan panjang dengan mengambil kira keseriusan kes.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here