Pensyarah UTHM cipta sejarah wanita pertama miliki lesen dron profesional

0
147

BATU PAHAT: Pensyarah di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Siti Juita Mastura Mohd Saleh mencatat sejarah sebagai wanita pertama negara memiliki lesen Juruterbang Kawalan Dron Profesional.

Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) berusia 39 tahun itu memiliki lesen berkenaan atau Remote Pilot License (RePL) yang diiktiraf oleh Lembaga Keselamatan Penerbangan Awam (CASA), Australia.

Beliau yang juga penyelidik di Jabatan Kejuruteraan Aeronautik di universiti itu turut mempunyai kepakaran dalam bidang Struktur dan Reka Bentuk Pesawat, khususnya berkaitan komposit aerostruktur

“Saya bersyukur kerana diberi peluang berbakti kepada universiti yang menggalakkan kakitangannya untuk terbabit dalam aktiviti komuniti.

“Menerusinya (lesen) saya berpeluang menyumbang khidmat bakti dan berkongsi ilmu berkaitan dron kepada komuniti setempat mahupun masyarakat Orang Asli melalui program yang diaturkan UTHM,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, dia bukan saja aktif dalam bidang penyelidikan, malah menjadi penggerak kepada pembangunan pensijilan aeroangkasa khususnya berkaitan program teknologi dron yang kini ditawarkan di UTHM.

“Melalui kerjasama dengan pihak industri, satu geran penyelidikan diberikan oleh UTHM untuk saya membangunkan prototaip pesawat terbang rendah dikenali sebagai ‘wing-in-ground effect craft’.

“Dengan pemilikan lesen ini, saya berhasrat meneruskan aktiviti penyelidikan dan pembangunan produk aeroangkasa selaras hasrat negara memperkasa industri aeroangkasa menjelang 2030,” katanya.

Ahli lembaga pengarah dalam satu syarikat terbitan UTHM, Avitex Solution itu juga menjalankan aktiviti komersial produk berasaskan dron serta kursus asas pengendalian dron.

“Saya berharap penubuhan syarikat ini dapat memberi peluang untuk UTHM terbabit secara lebih aktif bukan saja dalam aktiviti konsultasi, malah aplikasi dron dalam pelbagai industri,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here