Percepat kelulusan i-Sinar, kemaskini sistem elak kekeliruan

0
188

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) digesa mempercepatkan proses kelulusan dan pengeluaran i-Sinar serta mengemaskini sistem permohonan susulan keputusan pemansuhan semua syaratnya sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pihaknya mendapat banyak aduan dan maklum balas pemohon berkaitan i-Sinar dengan sebahagiannya masih keliru dengan keputusan baharu itu.

“Masih terdapat butiran yang perlu memuatnaik dokumen sokongan, maklumat pengurangan pendapatan, dokumen sokongan untuk pertimbangan bagi meneruskan proses permohonan baharu i-Sinar tanpa syarat ini.

“KWSP perlu mempercepatkan kemaskini sistem permohonan i-Sinar dengan memansuhkan butiran dokumen sokongan ini. Ternyata rakyat masih keliru sama ada syarat pengeluaran i-Sinar sudah dimansuh atau belum,” katanya dalam kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Beliau berkata, tarikh kelulusan permohonan pada 8 Mac juga menimbulkan kekecewaan pemohon memandangkan mereka yang dalam Kategori Dua sudah memohon sejak 11 Januari lalu.

“Jika 8 Mac keputusan kelulusan permohonan, bila rakyat akan mula mendapat bayaran pengeluaran i-Sinar ini?. Adakah akan mengambil masa selama sebulan lagi dan ini tidak termasuk proses rayuan permohonan lagi.

“Rakyat tidak dapat lagi menahan tekanan hidup yang dihadapi bagi mendepani wabak COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata, KWSP atau Kementerian Kewangan perlu segera mengumumkan tarikh penting seperti kelulusan permohonan proses rayuan dan pembayaran yang akan diterima oleh rakyat.

“Dengan ini rakyat akan lebih bersedia dari segi mental dan mengawal aliran tunai kewangan mereka. Mereka tidak mampu lagi bergantung ‘tanpa tali’ oleh KWSP yang selalu ‘flip-flop’ dalam memberikan kenyataan,” katanya.

Katanya, ramai pemohon mengadu ingin menukar jumlah pengeluaran pada kadar maksimum selepas pengumuman rasmi dibuat Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz minggu lalu.

“Bagi yang sudah mendapat pembayaran interim kali pertama, mereka tidak boleh menukar jumlah pengeluaran i-Sinar secara dalam talian, sebaliknya perlu ke kaunter KWSP berdekatan bagi mengisi borang secara manual.

“Namun, dalam situasi pandemik COVID-19 ini, mereka perlu buat temujanji secara dalam talian untuk membuat urusan di kaunter KWSP yang mengambil masa selama sebulan untuk menunggu giliran temujanji,” katanya.

Beliau turut meminta KWSP memberi pilihan kepada ahlinya mengeluarkan maksimum RM10,000 secara ‘one off’ selepas permohonan diluluskan.

“Ramai dalam kalangan mereka mengadu mengalami tekanan hidup hingga terpaksa berhutang untuk meneruskan kelangsungan hidup dan perlu sejumlah wang yang boleh menanggung kehidupan harian keluarga.

“Mereka menunggu berbulan-bulan lamanya untuk kelulusan permohonan i-Sinar ini. Berilah mereka pilihan untuk pengeluaran RM10,000 secara one off untuk meneruskan kelangsungan hidup dengan wang mereka sendiri,” katanya memaklumkan menerima tidak kurang 400 hingga 500 aduan sehari berkaitan isu i-Sinar.

Media sebelum ini melaporkan, KWSP sedang dalam proses memansuhkan syarat kemudahan i-Sinar.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilaporkan berkata pemansuhan adalah berikutan nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya KWSP menambahbaik inisiatif itu selepas mengambil kira maklum balas rakyat.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here