PERHILITAN tangkap tapir seberat 450 kilogram

0
135

SEREMBAN: Seekor tapir Malaya betina seberat 450 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan selepas memasuki perangkap yang dipasang di Ladang Johol, Johol, Kuala Pilah, semalam.

Pengarah PERHILITAN, Wan Mat Wan Harun, berkata perangkap itu dipasang sejak 24 November tahun lalu susulan aduan daripada kakitangan ladang mengenai tapir itu yang sering berkeliaran di ladang mereka sejak tahun lalu.

“Tapir berkenaan memasuki perangkap pada 8.30 pagi semalam.

“Sebaik menerima maklumat itu tujuh anggota Perhilitan Negeri Sembilan dihantar ke ladang berkenaan untuk memeriksa perangkap tersebut. Kami dapati tapir itu berada dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Katanya pada tahun ini, pihaknya hanya dapat menyelamatkan seekor tapir iaitu tapir Malaya betina itu atau nama saintifiknya Tapirus Indicus daripada diancam kepupusan.

“Tapir ini akan diberi rawatan oleh pegawai veterinar PERHILITAN terlebih dahulu dan dilepaskan di kawasan perlindungan di negeri ini yang berada di bawah PERHILITAN,” katanya. – BERNAMA

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here