Perikatan Nasional tumbangkan Warisan Plus.

0
890

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mencipta kejutan apabila berjaya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang ke-16, sekali gus menumbangkan Kerajaan Warisan Plus yang diketuai oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Sehingga jam 10 malam ini, GRS yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan mereka berjaya mendapat majoriti mudah daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada PRN tersebut.

Warisan Plus yang merupakan gabungan Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Amanah Negara (Amanah) pula gagal untuk mendapat majoriti yang cukup bagi menubuhkan kerajaan.

Dalam pada itu, calon bebas pula berjaya mendapat tiga kerusi iaitu di DUN Kuamut, Kemabong dan Pitas, sementara Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) berjaya mendapat satu kerusi iaitu di Pintasan.

Antara pemimpin-pemimpin GRS yang berjaya memenangi kerusi masing-masing ialah Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi DUN Lamag dan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor (DUN Sulaman). Mereka antara yang disebut sebagai calon bagi Ketua Menteri Sabah.

Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pula berjaya mempertahankan Kerusi Tambunan yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sementara itu, Mohd Shafie Apdal yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah pula berjaya mempertahankan DUN Senallang, namun bekas timbalannya yang merupakan Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau tumbang di Kerusi DUN Kiulu.

Antara kejutan pada PRN kali ini ialah kemunculan semula bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin yang memenangi Kerusi DUN Usukan mewakili USNO dan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Salleh Said Keruak berjaya memenangi Kerusi Pintasan.

Pada 30 Ogos lalu, Mohd Shafie bertindak membubarkan DUN Sabah selepas Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman mendakwa mempunyai sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sabah kerana memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

“Amanah ini kita akan sama-sama pikul di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri),”katanya dalam Facebook sebentar tadi.

SUMBER: SINAR HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here