Perlu notis 28 hari sebelum sidang

0
108

BATU PAHAT: Parlimen Malaysia ada menerima cadangan daripada lima Ahli Parlimen pembangkang untuk mengadakan sidang Dewan Rakyat mengikut jadual asal yang sepatutnya hari ini, tetapi mereka dinasihatkan untuk akur ia tidak dilaksanakan selaras proklamasi darurat ketika ini.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, berkata pihaknya turut menerima cadangan sama daripada beberapa wakil rakyat Perikatan Nasional (PN).

“Namun pihak Parlimen tiada kuasa untuk mengadakan persidangan Dewan Rakyat kerana ia memerlukan kebenaran serta notis daripada Ketua Majlis (Perdana Menteri).

“Walaupun Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa memprorog (gantung), bubar dan panggil semula Parlimen namun ia perlu mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri,” katanya selepas program sumbangan barang keperluan kepada penduduk dalam Parlimen Batu Pahat di Kompleks Penghulu Mukim 9, Minyak Beku, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Ahli Parlimen yang yang mahu sidang Dewan Rakyat diadakan, perlu berjumpa sendiri dengan Ketua Majlis atau Perdana Menteri.

“Sekiranya sidang Parlimen perlu diadakan waktu terdekat ini, Ketua Majlis atau Perdana Menteri perlu memberikan notis sekurang-kurangnya 28 hari sebelum ia dilaksanakan.

“Pihak Parlimen menasihatkan supaya semua Ahli Parlimen akur dan mematuhi proklamasi darurat berkenaan demi kepentingan bersama,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada 400 penerima daripada golongan B40 di dalam Parlimen Batu Pahat.

“Barangan keperluan yang disumbangkan bernilai RM150 itu diberikan kepada penduduk yang terjejas akibat COVID-19 dan bencana banjir baru-baru ini,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here