Persediaan pemberian suntikan vaksin di Kedah jalan lancar

0
83

ALOR SETAR: Lebih 2,000 petugas barisan hadapan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini akan menerima suntikan vaksin untuk fasa pertama di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata kesemua petugas terbabit boleh mendapatkan suntikan itu di mana-mana pusat kesihatan dan hospital.

Katanya, ketika ini segala persediaan berjalan lancar termasuk dari segi logistik bagi memastikan vaksin sentiasa berada dalam keadaan terbaik.

“Pemberian vaksin ini perlu melalui kaedah yang betul, ia perlu disimpan pada suhu -80 darjah celcius untuk bertahan dalam jangka masa panjang.

Jika disimpan dalam suhu antara dua hingga lapan darjah celsius, vaksin ini hanya mampu bertahan dalam tempoh lima hari.

“Oleh itu di Kedah, vaksin ini akan disimpan di stor negeri yang mempunyai suhu -80 darjah celsius terlebih dulu sebelum suntikan diberikan kepada penerima. Hal logistik antara perkara yang amat diberi perhatian kerana kita tak mahu vaksin itu rosak akibat perubahan suhu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima taklimat berhubung ujian klinikal vaksin COVID-19 di HSB di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah HSB, Dr Zaiton Udin dan pakar perunding perubatan hospital berkenaan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.

Media sebelum ini melaporkan bahawa bekalan vaksin COVID-19 fasa pertama yang dibeli kerajaan daripada syarikat farmaseutikal Pfizer dijangka tiba di Malaysia pada 26 Februari nanti.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dipetik sebagai berkata sebaik tiba di pintu masuk negara, vaksin itu akan diagihkan kepada negeri-negeri sebelum ia disuntik kepada penerima.

Dalam perkembangan lain Dr Mohd Hayati, berkata individu sukarelawan yang menjalani ujian klinikal vaksin di negeri ini kini berada dalam keadaan baik tanpa berdepan sebarang masalah.

“Saya tak boleh dedahkan butirannya termasuk berapa ramai yang mengikuti ujian berkenaan kerana perkara itu menyalahi etika perubatan.

“Namun bersandarkan laporan diterima, kita menerima maklum balas yang cukup baik dari semua pihak dan tiada kesan yang tidak menggembirakan daripada ujian dijalankan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here