Pertahan hak Palestin

0
69

Dr Muzaffar Syah Mallow

SATU usaha bersepadu perlu diambil oleh masyarakat antarabangsa yang boleh diketuai Malaysia bagi menyingkir Israel dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Ini susulan penindasan dan tindakan kekejaman yang Israel lakukan khusus terhadap penduduk Palestin semenjak negara Israel tertubuh lebih 70 tahun lalu. Penduduk Palestin tidak pernah mengecapi kedamaian sejak penubuhan negara Israel pada 1948 dan rampasan bandar Baitulmaqdis, Tebing Barat serta Semenanjung Gaza oleh Israel selepas tamatnya Perang Enam Hari pada 1967. Sudah lebih setengah abad, penduduk Palestin menjadi mangsa penindasan dan kekejaman oleh Israel. Penindasan dan kekejaman yang dilakukan terhadap penduduk Palestin bukan hanya dilakukan oleh kalangan tentera Israel malah turut disertai beberapa persatuan serta rakyat Israel sendiri.

Sudah ramai masyarakat Palestin yang sudah menjadi mangsa penindasan dan kekejaman Israel merangkumi warga tua, wanita, remaja dan kanak-kanak. Pada masa sama, Israel melanggar berpuluh-puluh peruntukan undang-undang antarabangsa dan ratusan Resolusi PBB yang ditujukan kepada mereka dengan meneruskan proses penaklukan ketenteraan mereka di tanah Palestin, meluaskan serta menambah kawasan penempatan rakyat Israel di kawasan milik Palestin, membina tembok ditanah milik Palestin serta menafikan hak pelarian Palestin untuk kembali ke tanah mereka sendiri. Oleh itu, sudah sampai masanya, satu tindakan tegas diambil oleh masyarakat antarabangsa bagi menghukum Israel kerana kegagalan mereka untuk hidup dalam sebuah masyarakat yang bertamadun serta yang berpandukan undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Antara langkah paling drastik yang boleh dipertimbangkan dengan menyingkir Israel terus dari PBB.

Israel perlu diingatkan penubuhan negaranya pada 1948 banyak terhutang budi kepada PBB sendiri. Pada 1947, PBB memutuskan membahagikan daerah mandat British di Palestin. Keputusan terbabit ditentang keras oleh negara-negara Timur Tengah dan banyak negara Islam di serata dunia. Semenjak penubuhan negara Israel, pelbagai masalah ditimbul oleh Israel terutama terhadap rakyat Palestin yang juga jelas bertentangan dengan tujuan dan matlamat asal penubuhan PBB itu sendiri. Di antara matlamat utama penubuhan PBB, sebagaimana yang ditetapkan dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 (United Nations Charter 1945), adalah untuk mengelakkan perulangan pertikaian yang hebat, menegaskan hak asasi manusia yang utama, menjamin rasa hormat akan undang-undang antarabangsa serta memperbaiki taraf hidup penduduk di seluruh dunia. Semua matlamat yang dinyatakan di dalam Perkara 1 Piagam PBB 1945 jelas tidak dipatuhi Israel semenjak penubuhan negara mereka lebih 70 puluh tahun lalu. Oleh yang demikian, sewajarnya Israel di singkir terus daripada PBB. Perkara 6 Piagam PBB 1945 terbabit turut menyatakan dengan jelas: “Ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang berterusan melanggar Prinsip yang terkandung dalam Piagam ini boleh dibuang daripada Pertubuhan Melalui Perhimpunan Agung atas syor Majlis Keselamatan.”

Bagi menjayakan cadangan berkenaan, masyarakat antarabangsa perlu bersatu seperti yang ditunjukkan oleh mereka empat tahun dahulu melalui Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334. Resolusi 2334 diluluskan pada 23 Disember 2016 dengan 14 undi menyokong, dan Amerika Syarikat mengambil sikap berkecuali.

Resolusi itu yang pertama mengenai Israel dan Palestin yang dibuat 15 negara anggota Majlis Keselamatan PBB dalam tempoh lapan tahun. Kejayaan Resolusi 2334 mempunyai beberapa signifikannya tersendiri. Pertama, cara pengundian itu berlaku di Majlis Keselamatan menunjukkan negara yang menjadi anggota tidak tetap Majlis berkenaan bersedia dan sanggup mendau­latkan peraturan undang-undang (rule of law) peringkat antarabangsa meskipun tindakan berkenaan berlawanan dengan pendirian dan prinsip Barat serta negara di Asia Barat dan Timur Tengah yang dilihat cenderung terhadap Barat.

Kedua, Resolusi 2334 terbabit memberi sedikit keyakinan kepada Palestin bahawa kebanyakan negara dunia termasuk Malaysia masih bersama-sama mereka khusus dalam perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai kemerdekaan penuh dari Israel dan mengecapi keamanan.

Walaupun cadangan penyingkiran Israel daripada PBB ini sukar dilaksanakan terutama tanpa sokongan dari sesetengah negara yang menduduki Majlis Keselamatan PBB yang menjadi proksi serta penyokong kuat Israel seperti Amerika Syarikat di bawah pimpinan Presiden Donald J Trump, namun langkah atau usaha yang patut diambil ini sekurang-kurangnya dapat memberi isyarat jelas kepada rejim Israel bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan hanya duduk diam terhadap segala tindakan penindasan dan kekejaman yang dilakukan oleh mereka terhadap penduduk Palestin serta pada masa sama memberi sokongan moral kepada penduduk Palestin. Malaysia sebagai salah sebuah negara Islam yang paling berpengaruh di dunia perlu mengambil initiatif ini bagi melaksanakan cadangan penyingkiran Israel daripada PBB ini ke peringkat antarabangsa.

Penulis adalah Pensyarah Kanan,  Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),  Universiti Sains Islam Malaysia

Sumber: Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here