Pertahanan negara diperkukuh, kebajikan anggota dipelihara

0
123

Soalan (S): Bagaimana Datuk Seri menilai prestasi setahun Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memberi khidmat kepada rakyat?

Jawapan (J): Kejayaan PN adalah dari segi menangani COVID-19, yang mana (bermula) tidak sampai dua minggu Kabinet dibentuk, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan dan kita perlu menguruskannya. Malaysia boleh dianggap sebagai negara yang berjaya dalam pengurusan wabak ini.

Dari segi kebajikan rakyat, pengumuman seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) membantu rakyat meneruskan hidup. Di bawah PRIHATIN, untuk mengelakkan pembuangan pekerja, kerajaan melaksanakan Program Subsidi Upah (PSU).

Peniaga mikro yang tidak boleh berniaga ketika PKP turut diberi bantuan. Bagi perniagaan juga, banyak bantuan disediakan. Kerajaan cuba mengimbangkan di antara nyawa dan kehidupan rakyat.

Saya juga melihat perubahan dalam bidang perniagaan, yang mana tumpuan turut diberikan kepada perniagaan dalam talian, selain perkembangan dalam ekonomi gig. Dari segi keamanan juga, ia berjaya dikawal berbanding sesetengah negara lain yang berdepan rusuhan.

S: Sebagai Menteri Kanan Pertahanan, boleh Datuk Seri kongsi pencapaian Kementerian Pertahanan selepas setahun menerajui kementerian ini?

J: Kejayaan kita yang besar adalah kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara. Setakat ini, tiada isu berkaitan keselamatan dan kedaulatan walaupun timbul isu di Laut China Selatan dan sebagainya, tapi semuanya dapat diselesaikan cara baik. Kita juga berjaya mengawal sempadan dengan baik, di mana ancaman besar berlaku di situ.

Kawalan kita di sempadan turut membabitkan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM). Di sempadan, kita berjaya menghalang pencerobohan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Jika dilihat pengumuman saya buat, setiap hari ada tangkapan PATI, tekong dan rampasan bot, selain kita berjaya mengusir mereka keluar. Begitu juga jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan manusia dan dadah.

S: Bagaimana dari segi kesiap- siagaan pertahanan negara termasuk pemilikan aset?

J: Kita pertingkatkan kesiapsiagaan kita. Pada tahun lalu, kita berjaya menambah aset baharu tentera, antaranya bot pemintas pantas, helikopter MD 530G dan meriam. Kita sedang menambah baik dasar dan tindakan bagi kawalan sempadan.

Sebagai contoh di Sabah, pesisir pantainya sejauh beribu kilometer (km) dan tidak mungkin kita mampu menjaga setiap inci. Jadi, kita akan memperbanyakkan kenderaan tanpa pemandu seperti dron kerana banyak kehadiran PATI adalah dari negara jiran.

Di sempadan utara Semenanjung, dari Kedah hingga Kelantan juga beribu-ribu kilometer (km), jadi peralatan seperti kamera litar tertutup (CCTV) dan radar akan ditambah dari semasa ke semasa. Di sempadan Kedah dan Thailand, kita akan mewujudkan pos bersama antara kedua-dua negara iaitu secara bersebelahan bagi membolehkan kita berkongsi maklumat dan kawalan sempadan, termasuk dengan Indonesia.

Setakat ini, kita mempunyai 55 dron, namun ia tidak cukup. Kita akan membuat penambahan pada tahun ini dan bekerjasama dengan PDRM. Bagi memperkukuhkan kawalan, kita akan menambah 19 lagi pos sempadan di Sabah dan Sarawak, berbanding 17 ketika ini. Bayangkan antara Sarawak dan Kalimantan, tiada sekatan pun, bukan ada tembok.

Ada sebuah kampung, yang mana orang Kalimantan hanya datang menaiki motor untuk membeli gula, gandum dan minyak masak dan membuat perdagangan barter (tukar barang) dengan getah. Jadi, walaupun kita sudah mengawal sempadan dengan baik, banyak lagi ruang untuk kita perbaiki. Kita akan tambah baik dari segi teknologi baharu.

S: Bagaimana pula kerjasama ATM dengan agensi lain dalam mengawal penularan COVID-19 di negara ini?

J: Walaupun kita tentera yang dilihat lebih cenderung kepada peperangan, ancaman bukan tradisional juga perlu ditangani termasuk kawalan penyakit. Kita membantu negara bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan PDRM dalam memantau serta mengawal penularan COVID-19 dan kita berjaya melakukannya.

Ada dua aspek yang kita lakukan, iaitu membantu polis dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara melalui sekatan jalan raya, Op Penawar dan Op Benteng, yang mana Pasukan Petugas Khasnya diketuai ATM, malah kita mewujudkan hospital lapangan seperti di Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah susulan kekurangan katil di hospital.

Dari segi Op Benteng, sejak 1 Mei 2020 hingga 28 Februari lalu, seramai 12,121 PATI dan 922 tekong ditahan. Kita juga merampas 322 bot atau kapal dan 1,469 kenderaan darat. Kita mengusir 1,299 PATI, sembilan tekong dan 616 bot, dengan nilai rampasan RM307 juta. Kita juga membantu KKM dari segi pengangkutan untuk membawa sampel ujian saringan COVID-19 dari Sabah ke Semenanjung selepas timbul masalah kemampuan makmal di negeri itu, sekali gus mengelakkan kes tertunggak.

S: Malaysia kini bukan sahaja perlu berdepan ancaman secara fizikal, tetapi juga siber, terbaru daripada ‘Anonymous Malaysia’. Apakah strategi Kementerian Pertahanan menghadapi ancaman sebegini?

J: Perang siber ini lebih berbahaya daripada perang fizikal, jadi kita turut melengkapkan diri dengan pertahanan siber.

Kita sudah ada Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) untuk pertahanan siber. Kita juga bekerjasama dengan negara jiran dan di peringkat antarabangsa bagi menangkis serangan siber. Kita turut bekerjasama dengan agensi dalam negara seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pusat Keselamatan Siber Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Bagaimanapun, kita masih memerlukan kewangan yang besar untuk mempertingkat (kemampuan) pertahanan siber ini. Dengan kemudahan yang ada setakat ini, kita tidak terbabit dengan serangan, termasuk melalui ancaman daripada ‘Anonymous Malaysia’ baru-baru ini, namun ia masih berisiko untuk diceroboh.

S: Bagaimana pula dalam aspek kebajikan anggota dan veteran ATM?

J: Selain keselamatan, fokus kita di Kementerian Pertahanan adalah kebajikan anggota dan veteran tentera. Ini termasuk perumahan, yang mana kita masih memerlukan 35,000 unit rumah untuk anggota. Bagi 2021, kerajaan meluluskan RM500 juta untuk 1,000 unit rumah. Bagi mempercepatkan usaha pembinaan rumah ini, kita akan melaksanakan kerjasama awam-swasta.

Rumah ATM sudah dibina di Sarawak. Kita juga mempunyai dasar tiada lagi kuarters dua bilik, jadi kita pecahkan dua unit rumah dua bilik menjadi satu (rumah). Ini juga antara program yang dilakukan bagi memberi keselesaan kepada anggota. Satu lagi program disasarkan adalah Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).

Ramai anggota kita yang pencen dan tiada rumah, lalu terpaksa menyewa. Melalui program ini, rumah ditawarkan dengan harga iaitu antara RM200,000 hingga RM400,000 mengikut tempat. Kita ada 3,500 unit rumah di Sungai Besi (Kuala Lumpur) dan sudah mendapat kelulusan bagi perumahan di Batu Kentonmen, Kem Wardieburn dan Genting Klang, iaitu 7,374 unit.

Bagi veteran tidak berpencen, kita melatih mereka di bawah Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT), antaranya terbabit dalam bidang perniagaan. Seramai 5,000 orang dilatih setiap tahun dan kini, kita minta PERHEBAT untuk melaporkan dari segi hasil iaitu jumlah mereka berjaya setiap tahun. Satu lagi kejayaan kita adalah dari segi kebajikan anak tentera. Kita memberikan kuota 30 peratus di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ATM Bera (Pahang) kepada anak anggota, selain 20 peratus kepada anak anggota serta veteran di Maktab Tentera Diraja (MTD).

Selain itu, kita tetapkan kuota 10 peratus untuk pelajar MTD memasuki UPNM. Pada masa sama, pada tahun lalu, kita menyelenggara infrastruktur dan membuat penambahbaikan di 38 sekolah dalam kem tentera, 570 ID pengguna tuisyen bagi 5,700 anak warga pertahanan dan satu pusat tuisyen bagi setiap kem. Dari segi kebajikan veteran tentera, kita melaksanakan pembayaran elaun secara one-off kepada 121,816 veteran ATM penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) membabitkan peruntukan RM60.9 juta dan Bayaran Khas Kewangan (BKK) Prihatin Nasional kepada 201,253 anggota tidak berpencen.

S: Sebagai menteri terbabit secara langsung menangani wabak COVID-19, boleh Datuk Seri huraikan langkah kerajaan dalam pengurusan wabak ini?

J: Jika kita lihat, apa yang dilakukan Malaysia adalah melalui dua strategi. Strategi pertama adalah strategi kesihatan yang dilaksanakan KKM melalui ujian saringan, menambah makmal, kawalan sempadan, kuarantin dan terbaru, vaksin. Kita di ATM lebih kepada strategi kedua, iaitu pematuhan kawalan pergerakan selepas pengumuman PKP dan peranan ini banyak dimainkan tentera dan polis.

Apa yang dilakukan Malaysia ini tidak berpandukan model mana-mana negara, ia adalah model kita sendiri. Ketika itu, tiada negara lain yang boleh dijadikan contoh kerana semua negara sedang bergelut menghadapi wabak COVID-19. Kita tidak boleh merujuk kepada Amerika Syarikat (AS), China atau mana-mana negara. Ia adalah inisiatif kita sendiri. Apabila kita umumkan PKP, kita nampak kejayaannya kerana rakyat ketika itu terlalu takut dengan COVID-19, jadi semua patuh dan hanya tinggal di rumah.

Kes kemudian menurun dan kita bertukar status kepada PKP Bersyarat (PKPB) sehingga PKP Pemulihan (PKPP). Kita pernah landaikan kes sehingga sifar. Ketika ini, kita berada di tangga ke-16 di peringkat dunia (pengurusan COVID-19) dan masih dianggap berjaya. Ketika PKP pertama, kita pernah menjadi antara lima negara terbaik dunia. Malangnya selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, walaupun ada prosedur operasi standard (SOP), pematuhannya kurang baik, akhirnya kes meningkat semula.

Situasi kes semakin buruk selepas kita memberi kelonggaran rentas negeri. Terdapat 32 kluster rentas negeri yang direkodkan. Sebagai contoh, Kelantan yang ketika itu zon hijau bertukar menjadi zon merah dan sebab itu, kita perlu melaksanakan PKP kedua. Penerimaan bagi PKP kedua agak sukar kerana orang sudah bebas berbanding sebelumnya.

Pada PKP pertama, mereka takut dengan COVID-19, jadi mudah untuk mengawal pergerakan. Apabila orang sudah bebas, boleh bekerja, keluar rumah dan berniaga, tiba-tiba dikenakan kawalan pergerakan sekali lagi. Itu menyebabkan mereka sukar untuk patuh SOP. Kita juga tidak boleh melaksanakan penguatkuasaan yang kaku seperti PKP pertama kerana ketika itu, negara kehilangan RM2.6 bilion sehari, jadi ekonomi negara dan rakyat teruk. Kerajaan terpaksa menghulurkan bantuan berbilion ringgit, tetapi rakyat tiada kerja terutama yang mendapat gaji harian.

Jadi, melalui PKP kedua, kita ubah sedikit pendekatan. Kita laksanakan PKP, tapi membuka ekonomi perlahan-lahan. Itu pun kerajaan masih kerugian RM600 hingga RM700 juta sehari. Apabila kita buka ekonomi, rakyat dalam ekonomi mikro boleh meneruskan kehidupan walaupun tidak seperti dulu kerana kita masih mengawal pergerakan.

Dengan strategi itu, kes ketika ini semakin menurun. Jika dibandingkan dengan negara lain, kita agak baik. Sebagai contoh, United Kingdom (UK) mempunyai 65 juta penduduk dengan empat juta kes COVID-19, tapi kita dengan separuh penduduk UK mempunyai 300,000 kes. Jadi, kita masih boleh berbangga dari segi kemampuan dalam peperangan menentang COVID-19.

S: Ada yang mempertikaikan SOP berubah-ubah sehingga kredibiliti kerajaan dipersoalkan dan didakwa tidak meneliti keperluan atau keutamaan rakyat yang sebenar?

J: Kita fleksibel dan tidak boleh kaku. Ketika PKP pertama, semua diarah duduk di rumah, tiada aktiviti termasuk perniagaan. Jika kita teruskan untuk PKP kedua, ramai yang akan menderita, jadi kita buat perubahan dan berikan kelonggaran. Kita bukan mahu flip flop seperti yang didakwa, tapi menyesuaikan dengan keadaan supaya lebih fleksibel, namun tidak banyak perubahan yang besar.

Kerajaan perlu lebih fleksibel berbanding dulu supaya ekonomi tidak lebih parah. Ekonomi rakyat jadi keutamaan kita. Kita mahu pastikan ada makanan di atas meja. Kita tiada pilihan selain membuka ekonomi.

Apabila kita umum mengehadkan makan besar bagi Tahun Baharu Cina, kita tidak menyebut angka pada peringkat permulaan. Bagaimanapun ada permohonan daripada persatuan kepada Kementerian Perpaduan Negara, jadi angka ditetapkan supaya tidak timbul kekeliruan. Kita benarkan maksimum 15 orang (makan besar) dalam rumah yang sama dan dalam 10 kilometer (km) radius.

Kita masih mengawal dari segi jumlah kerana tidak mahu sambutan besar-besaran yang membabitkan ramai orang, namun kita juga mahu ada sedikit kelonggaran dalam kawasan yang sama. Kita buat mengikut kesesuaian. Semua ini adalah berdasarkan pengalaman. Kita tiada pengalaman dan data saintifik pada PKP pertama tapi selepas setahun, kita memperolehnya. Sebagai contoh, apabila saya umum gunting rambut dibenarkan, ramai yang mempersoalkan kerana bimbang jika ada jangkitan. Ketika itu kita tiada pengalaman, namun selepas setahun, berdasarkan data, tiada satu pun kluster gunting rambut, kecuali hanya satu kes membabitkan warga Pakistan. Disebabkan itu, kita membenarkan perniagaan gunting rambut.

S: Ada juga pihak mendakwa kerajaan pilih kasih dalam aspek hukuman kepada mereka yang gagal patuh SOP. Adakah itu punca kurang pematuhan SOP pada PKP kedua berbanding yang pertama?

J: Ramai yang kata orang politik terlepas (hukuman). Sebenarnya, orang politik masih kena. Saya nak jelaskan, keputusan mengambil tindakan bukan keputusan kerajaan. Saya umumkan dari segi dasar, siapa langgar SOP, kita ambil tindakan tapi pelaksanaan tindakan adalah pihak polis. Kadang-kadang kita marah kalau polis terlalu tegas dan pada masa sama, kita marah juga kalau polis gunakan budi bicara.

S: Berbalik kepada isu pertahanan. Adakah Malaysia masih mengamalkan pembelian aset ketenteraan dengan negara yang mempunyai hubungan diplomatik?

J: Pembelian kita tidak dari satu negara saja, cuma jika membabitkan pembelian satu aset seperti helikopter, kita fokus kepada negara berkaitan, dron dari negara berkaitan. Jika dulu kita beli sedikit-sedikit, contohnya lima helikopter dari negara A, lima lagi dari negara B kerana kita bersahabat dengan semua negara.

Bagaimanapun, timbul masalah penyelenggaraan kerana ia membabitkan dua negara berbeza teknologi. Kini, kita fokus kepada satu negara, contohnya bot pemintas dari satu negara, helikopter dari satu negara. Bagaimanapun, kita tidak boleh terikat dengan satu negara saja. Dari segi strateginya, lebih baik kita beli dari negara yang bersahabat seperti China, AS, Itali dan Turki.

S: Selepas setahun dalam pentadbiran Kerajaan PN, apakah sasaran kementerian tahun ini?

J: Kita akan fokus kepada kesiapsiagaan melalui pembelian aset. Kita mendapat peruntukan lebih banyak daripada kerajaan bagi 2021. Dari segi perumahan, kita tidak boleh bergantung kepada kewangan kerajaan semata-mata kerana kita memerlukan sehingga 35,000 unit rumah lagi.

Saya tidak mahu tunggu 35 tahun untuk selesaikan. Jadi kita akan laksanakan kerjasama awam-swasta, termasuk melalui inisiatif pembiayaan swasta dan kaedah land swap. Selain itu, seperti saya maklumkan, kita akan membuat penambahbaikan kebajikan anggota dan pertahanan siber. Kita juga akan melancarkan Dasar Industri Pertahanan Negara yang akan diumumkan kelak.

Kita juga sedang mempertingkatkan peranan industri pertahanan. Kita sudah lama berazam menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar aset ketenteraan.

Jadi pada tahun ini, kita tambah baik dengan memberikan peranan kepada syarikat yang terbabit dalam industri ini untuk menubuhkan jawatankuasa dan menjadi mentor dan vendor program.

Dari segi pengiktirafan kepada pemain tempatan ini, mereka akan diberikan sedikit kelebihan setiap kali ada perolehan dan kontrak dalam kementerian. Impian saya adalah suatu hari nanti, Malaysia akan jadi pengeluar aset ketenteraan. Jiran kita, Indonesia kini adalah satu daripada pengeluar aset ketenteraan. India juga kini sudah boleh mengeluarkan jet pejuang sendiri dan penyelenggaraan kapal selam. Jadi, kita perlu mulakan.

Mungkin pada peringkat permulaan, kita lakukan melalui pemasangan tempatan (CKD) dan bekerjasama dengan negara lain, tapi selepas pemindahan teknologi, kita mampu untuk mengeluarkannya.

Sehingga kini kita telah berjaya menghasilkan peluru sendiri, kereta perisai dan sedang membina kapal perang sendiri. Hasrat Kementerian Pertahanan supaya industri pertahanan kita juga mampu untuk membina jet pejuang sendiri pada masa hadapan.

S: Beralih kepada pengalaman peribadi. Apa peristiwa yang memberi kesan dan tidak dapat dilupakan Datuk Seri dalam tempoh setahun mengendalikan wabak COVID-19?

J: Pengalaman yang menakutkan adalah apabila setiap hari, terutama selepas jam 12 tengah hari, saya menerima mesej daripada Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah) atau Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengenai jumlah kes COVID-19.

Bayangkan jumlah kes, 3,000 hingga lebih 5,000 kes, selain jum- lah kematian. Sudah tentu saya takut kerana ia turut membabitkan tugas saya untuk melandaikan jumlah kes itu. Saya sudah lali dikritik setiap hari.

Sebagai ahli politik, kita sudah biasa. Bagi yang suka, apa saja saya buat akan dipuji. Yang tidak suka, setiap perkara kecil, dia akan serang saya. Jadi, kita perlu terima kerana kita tidak boleh anggap semua orang suka kita.

Ada sesetengahnya, penyampaian itu tidak betul, tetapi apa dibangkitkan itu, ada betulnya juga. Ia boleh digunakan mengubah SOP dan operasi bagi sektor tertentu.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here