Peruntuk RM30 juta projek Kebuniti

0
94

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM30 juta di bawah Pakej Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi projek Program Kebun Komuniti atau Kebuniti.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata program pertanian bandar itu bakal memberikan manfaat kepada 27,524 individu dan 1,046 komuniti di seluruh negara.

Katanya, program yang dilaksanakan sebelum ini mendapat sambutan menggalakkan, terutama masyarakat bandar dan luar bandar untuk mengusahakan tanaman jangka pendek seperti sayur-sayuran.

“Pihak kementerian berharap program ini akan memberi manfaat kepada golongan berkenaan, sekali gus membantu meringankan beban keluarga ketika menghadapi pandemik COVID-19.

“Menerusi program ini, peserta dapat menjimatkan RM110 setiap bulan daripada membeli sayuran di pasar,” katanya selepas Majlis Pelepasan Khidmat Agihan Bantuan PENJANA Pertanian Bandar di kementeriannya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah.

Kiandee berkata, kementerian itu juga membuat edaran kepada 536 penerima akhir di sekitar Kuala Lumpur membabitkan 11 Parlimen.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 42,370 permohonan diterima kementerian itu membabitkan peruntukan RM10 juta pada tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, seramai 13,524 individu dan 632 komuniti menerima manfaat.

“Melalui program ini, kerajaan menyediakan peruntukan RM500 bagi individu, manakala RM5,000 untuk komuniti terpilih merangkumi pasu, benih, baja, peralatan tanaman dan khidmat nasihat,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here