Pesara badan berkanun rugi RM1.84 juta diperdaya Macau Scam

0
92

BAYAN BARU: Wang simpanan sebanyak RM1.84 juta milik pesara badan berkanun berusia 76 tahun lesap selepas diperdaya sindiket Macau Scam.

Mangsa dari Bukit Jambul itu dihubungi suspek lelaki mendakwa bernama Adam Wong daripada ‘Pos Laju Kuala Lumpur’ pada 5 Jun lalu dan mengatakan mangsa menghantar bungkusan dari Kepong ke Kota Kinabalu yang mengandungi sekeping kad pengenalan warna biru serta lapan kad debit bank.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superitendan A A Anbalagan, berkata selepas mangsa menafikannya, suspek kononnya menasihati mangsa supaya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan akan membantu mangsa.

Katanya, tidak lama kemudian mangsa menerima panggilan telefon dan bercakap dengan tiga suspek menyamar pegawai polis yang mendakwa mangsa terbabit dengan penggubahan wang haram bernilai RM1.48 juta.

“Suspek mengatakan terdapat akaun bank yang dibuka atas nama mangsa di Kota Kinabalu dan meminta mangsa melapor kedudukan kepada ‘pegawai polis’ berkenaan setiap dua jam.

“Berikutan mangsa tidak dibenar menceritakan kepada sesiapa, pesara terbabit berasa takut dan hanya mengikut sahaja arahan suspek,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Anbalagan berkata, mangsa kemudian diminta memberikan sejumlah wang dalam akaun kerana pihak polis dan bank negara akan membekukan akaun bagi tujuan siasatan.

Katanya, mangsa kemudian memindahkan wang simpanan Tabung Haji termasuk wang pusaka arwah ibunya dan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) ke dalam sebuah akaun selepas diminta berbuat demikian.

“Didapati pada 23 Jun lalu, mangsa memasukkan cek ke dalam akaun sebuah syarikat enterprise berjumlah RM790,000 diikuti dua cek pada 29 Jun berjumlah RM300,000 kepada syarikat pembinaan dan dua keping cek lagi berjumlah RM 650,000.

“Suspek juga meminta mangsa membayar wang bon RM1 juta sebagai wang jaminan bagi mengelakkan ditahan dan reman,” katanya lagi.

Anbalagan berkata, mangsa pada 13 dan 22 Julai sekali lagi memasukkan dua keping cek masing-masing berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat enterprise, hasil jualan barangan kemas dan pinjaman daripada adik-beradiknya.

Selepas membayar separuh wang bon itu, suspek mendakwa pihak mahkamah menetapkan pembayaran sebanyak RM500,000 lagi bagi mencukupkan jumlah RM1juta.

“Mangsa yang buntu kerana sudah tiada wang meminta pertolongan anaknya di Kuala Lumpur dan membuat laporan polis pada 4 Ogos lalu selepas mengesyaki ditipu.

“Mangsa mengalami kerugian sebanyak RM1.84 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.

Sumber:Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here