PETRONAS runding ambil alih firma tenaga AS.

0
275

KUALA LUMPUR: Syarikat minyak dan gas negara, PETRONAS sedang mengadakan perbincangan awal untuk mengambil alih syarikat penggerudian minyak syal Permian Basin, DoublePoint Energy LLC.

Perbincangan adalah masih di peringkat awal, justeru tiada jaminan satu urus niaga akan berlaku, kata sumber yang enggan dinamakan kerana rundingan berkenaan adalah sulit.

Jika urus niaga itu menjadi kenyataan, ia akan bernilai beberapa bilion dolar, kata sumber.

Jurucakap Petronas yang dihubungi enggan mengulas mengenai perkara itu.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama DoublePoint, Cody Campbell, enggan memberi kenyataan mengenai mana-mana pembida dan berkata, syarikat itu tidak menggunakan pegawai bank untuk memberi nasihat berhubung potensi penjualan.

“Kami mula melihat tanda-tanda kebangkitan dalam pasaran pengambilalihan dan penjualan (A&D),” kata Campbell.

“Kami yakin dengan hala tuju kumpulan.”

Awal tahun ini, Chevron Corp memuktamadkan perjanjian bernilai AS$5 bilion (RM20.85 bilion) untuk mengambilalih Noble Energy Inc, sekali gus meningkatkan harapan mengenai kebangkitan semula urus niaga dalam sektor tenaga Amerika Syarikat (AS) yang terjejas dengan kemerosotan harga minyak ekoran pandemik COVID-19.

Noble dan penasihatnya mengadakan rundingan dengan 10 lagi syarikat sebelum bersetuju menjual kepada Chevron, di mana ia memberi penekanan kepada kemahuan segelintir operator untuk bergabung.

Namun, perjanjian yang dibuat bersama Chevron menunjukkan pembeli tidak bersedia membayar premium tinggi untuk pengeluar minyak syal berikutan harga minyak yang rendah dan sejarah pulangan industri yang buruk selama sedekad, selain masih ada sejumlah besar penjual berpotensi untuk dipilih.

Bulan lalu, rakan sejawat Campbell, John Sellers menerima kunjungan Presiden AS, Donald Trump di pelantar minyak di West Texas.

Kedua-dua Ketua Pegawai Eksekutif berusia 38 tahun terbabit terkenal di Permian kerana menawarkan sewaan penggerudian dan menjual kepada operator lebih besar termasuk jualan AS$2.8 bilion (RM11.7 bilion) kepada Parsley Energy Inc pada 2017.

DoublePoint menghasilkan sekitar 55,000 tong minyak sehari, namun aset utamanya adalah hak penggerudian seluas 40,468.6 hektar di tengah-tengah Permian.

Syarikat itu terlindung nilai pada akhir 2021, kerana mengurangkan pendedahan terhadap turun naik harga minyak ketika peningkatan pengeluaran, kata Campbell pada April lalu.

Firma penerokaan itu mempunyai komitmen ekuiti yang belum diambil alih daripada syarikat ekuiti swasta merangkumi Apollo Global Management Inc, Quantum Energy Partners, Magnetar Capital dan Blackstone Group Inc’s GSO Capital Partners.

Jurucakap Apollo enggan mengulas mengenai perkara ini, manakala Blackstone, Magnetar dan Quantum tidak memberi maklum balas segera mengenai pertanyaan berkaitan.

– Bloomberg

SUMBER:BERITA HARIAN

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here