PGA tahan 2 tekong darat, 8 wanita Thailand

0
22

KOTA BHARU: Polis menahan dua tekong darat dan lapan wanita Thailand dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas dan Tumpat pada Jumaat lalu serta awal pagi semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9), Superintendan Nor Azizan Yusof, berkata semua wanita berusia 24 hingga 39 tahun yang ditahan itu dipercayai masuk melalui laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata, dalam kejadian pertama pada jam 11 malam Jumaat lalu, sepasukan anggota PGA yang membuat rondaan menahan sebuah PROTON Wira dipandu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Kual, Pasir Mas.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati empat wanita Thailand yang mempunyai pasport sudah tamat tempoh berada dalam kereta itu.

“Pemeriksaan lanjut dilakukan mendapati wanita itu memasuki negara ini melalui pangkalan haram sekitar Rantau Panjang dan lelaki tempatan itu berperanan sebagai tekong darat membawa mereka ke lokasi tertentu.

“Semua yang terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan kejadian itu, Nor Azizan berkata, pasukannya kemudian melakukan serbuan ke sebuah chalet di Kampung Paya Pasir dekat Wakaf Bharu, Tumpat pada jam 5 pagi semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan itu pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun di hadapan sebuah chalet.

“Siasatan membawa kepada penemuan empat wanita Thailand ditempatkan dalam sebuah chalet yang juga tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Kami juga turut merampas sebuah Honda City berdekatan lokasi kerana disyaki digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Semua wanita Thailand itu dipercayai mahu bekerja di negara ini ekoran Kerajaan Malaysia melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sektor ekonomi negara dibuka sepenuhnya mengikut syarat ditetapkan Kementerian Kesihatan KKM),” katanya. – BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here