PIBG SK Setia Alam ringankan beban keluarga tak mampu

0
22

SHAH ALAM: Bagi meringankan bebanan kewangan keluarga kurang berkemampuan, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Setia Alam mengambil inisiatif menyumbangkan pakaian terpakai dan kelengkapan sekolah, baru.baru ini.

Walaupun sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) masih dijalankan di rumah akibat COVID-19, program itu dilaksanakan sebagai persediaan awal jika pelajar kembali ke sekolah.

Yang Dipertua PIBG SK Setia Alam, Zairul Ermady Mohd Shahali, berkata produk sumbangan di bawah program kebajikan, Pakaian dan Kelengkapan Sekolah SK Setia Alam itu terdiri daripada baju, seluar, kain, tudung, kasut, tali leher, beg dan alat tulis.

“Program ini bertujuan memberi peluang kepada ibu bapa yang lebih berkemampuan untuk melaksanakan kebajikan dengan memberikan pakaian terpakai dan kelengkapan sekolah anak mereka yang masih baik tetapi sudah tidak digunakan supaya tiada pembaziran.

“Melalui program ini, kita mampu menerapkan nilai murni dan perasaan cakna berhubung keperluan pelajar kurang berkemampuan, malah menggalakkan semangat tolong menolong dalam kalangan warga SK Setia Alam.

“Kita juga ingin memastikan pelajar yang terbabit mampu belajar dalam keadaan lebih selesa,” katanya ketika dihubungi.

Zairul Ermady berkata, program itu adalah aktiviti tahunan dijalankan PIBG SK Setia Alam atas permintaan ibu bapa sebelum pembukaan sekolah, namun pada tahun ini dilaksanakan sedikit lewat kerana kekangan COVID-19.

Bagi menjayakan program itu, katanya, PIBG mempromosikannya melalui aplikasi WhatsApp Kumpulan Sokongan Ibu Bapa, laman Facebook PIBG SK Setia Alam dan pusat sumber sekolah.

PIBG katanya, menyediakan beberapa kotak di pondok pengawal keselamatan sekolah itu bagi membolehkan penyumbang meletakkan pakaian dan barangan kelengkapan lain.

“Walaupun tidak meletakkan sasaran, kita bersyukur kerana menerima lebih 200 helai pakaian lengkap yang masih bersih dan berkeadaan baik sepanjang tempoh tiga minggu program ini berlangsung.

“Selepas pakaian dan barangan kelengkapan ini dikumpul serta disusun, ibu bapa kepada pelajar kurang berkemampuan terbabit boleh mengambilnya di ruang lobi sekolah melalui pemantauan prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here