Pinjam along beli telefon pintar untuk anak belajar

0
113

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) menerima sembilan aduan daripada ibu bapa mendakwa terpaksa membuat pinjaman along untuk membeli telefon pintar bagi membolehkan anak mengikuti pembelajaran dalam talian.

Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata ibu bapa terbabit ialah antara 17 individu membuat laporan terpaksa meminjam daripada along, baru-baru ini.

“Kebanyakan ibu bapa berkenaan adalah peniaga kecil dan bekerja sendiri.

“Mereka mengadu tidak mampu menyediakan peranti elektronik untuk keperluan anak berikutan pendapatan terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, mereka mendakwa tiada pilihan dan terpaksa mengambil risiko membuat pinjaman along semata-mata kerana tidak mahu anak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohamad Yusrizal berkata, keadaan itu menunjukkan masih ramai ibu bapa tidak mampu memenuhi keperluan anak mengikuti pembelajaran dalam talian ketika PKP.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi bantuan telefon pintar percuma kepada golongan tidak berkemampuan.

“Saya juga berharap kerajaan dapat mengusahakan suatu langkah seperti membuka kelas komuniti dalam kumpulan kecil bagi memastikan anak-anak itu tidak ketinggalan.

“Pada masa sama, DIDIK TV Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilancarkan, hari ini, dapat membantu anak belajar dengan pengawasan ibu bapa, ” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here