PKGK tangkap gajah liar Hutan Simpan Tekam

0
118

JERANTUT: Enam gajah berumur antara lapan hingga 30 tahun yang sebelum ini berkeliaran dalam ladang kelapa sawit di Kampung Doja, Jerantut, di sini, ditangkap dalam operasi pintas sejak minggu lalu.

Selepas menjejak kumpulan haiwan terbabit akhirnya kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang berjaya memintas enam gajah terbabit dalam kawasan Hutan Simpan Tekam, di sini.

Ketua PKGK Kuala Gandah Lanchang, Muhammad Khairul Adha Mat Amin, berkata tangkapan terbanyak dibuat tahun ini bagi memastikan gajah liar memusnahkan pokok kelapa sawit selain kebun penduduk tidak terus berulang.

Beliau berkata, seramai 25 kakitangan PKGK Kuala Gandah Lanchang dibantu anggota Unit Tangkapan Gajah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menyertai operasi terbabit bersama tiga gajah denak Abot, Rambai dan Alam.

“Terdapat antara 10 hingga 15 gajah liar berkeliaran dalam kawasan ladang kelapa sawit dan kebun penduduk setempat yang terletak berhampiran dengan Hutan Simpan Tekam sejak beberapa bulan lalu.

“Kawasan keliaran kumpulan gajah terbabit yang semakin sempit menjadi faktor utama ia mula menceroboh ladang termasuk penempatan yang terletak berhampiran hutan,” katanya.

Beliau berkata, enam gajah yang tangkap itu akan dipindahkan secara berperingkat dalam masa lima hari.

Katanya, operasi pindah bermula semalam apabila dua haiwan terbabit dipindahkan dan dilepaskan ke Kompleks Taman Negara, di sini, .

“Kita akan terus memantau baki kumpulan gajah liar bagi memastikan ia tidak kembali ke kawasan ladang kelapa sawit dan kebun penduduk Kampung Doja dan beberapa kampung berhampiran,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here