PKP: Kebajikan ibu tetap dijaga walaupun tiada pendapatan

0
27

TASEK GELUGOR: Walaupun asih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),namun ia bukan menjadi halangan bagi seorang lelaki yang menetap di Pokok Sena bagi memantau dan memberi perhatian terhadap kebajikan ibunya yang menghidap penyakit parkinson.

Sabri Sab, 59, yang tinggal dalam jarak satu kilometer dari rumah ibunya, Tipah Jalil, 80, akan berulang alik bagi melihat keadaan ibunya yang tinggal seorang diri.

Menurutnya, ibunya memilih untuk tidak tinggal bersama anaknya kerana berasa tidak selesa berada di rumah anak dan tidak mahu menyusahkan mereka apatah lagi masing-masing jauh dan berdepan dengan masalah kewangan.

“Jadi, menjadi tanggungjawab saya apabila berada dekat dengan ibu untuk melihat kebajikannya dijaga dengan baik yang mana rutin saya akan bermula seawal jam 7 pagi dari menyediakan sarapan hingga makan malam untuknya.

“Apatah lagi dalam tempoh PKP pula, adik beradik yang lain tidak dapat pulang kerana jauh tetapi mereka selalu menghubungi saya untuk bantu melihat ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Puan Tipah Jalil menderita menghidap penyakit parkinson sejak enam tahun lalu. Ia memerlukan perhatian terutamanya dari segi menyediakan makanan, berikutan tidak lagi mampu masuk ke dapur untuk memasak.

Beberapa media melaporkan kisah kehidupan Sabri yang mencari barangan yang boleh dikitar semula dari tong sampah termasuk besi buruk bagi menyara keluarganya.

Menurut Sabri, pendapatannya terganggu akibat penularan wabak COVID-19 namun masih bersyukur kerana memperoleh Bantuan Prihatin Nasional (BPN), dan wang bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masing-masing sebanyak RM300.

“Saya ada juga keluar sekali sekala mencari barang terpakai yang mana saya akan kumpul dan simpan terlebih dahulu di dalam stor buat sementara waktu.

“Saya terpaksa keluar rumah kerana itu mata pencarian untuk menyara keluarga dan ibu. Saya harap apabila virus ini berakhir nanti, barangan dikumpul ini dapat dijual dan memperoleh pendapatan lebih sikit dari kebiasannya,” katanya.

Bapa kepada tiga anak berusia 21 hingga 24 tahun itu, berkata dia memperoleh pendapatan menjual barangan terpakai antara RM30 ke RM40 sehari.

“Pendapatan saya ini tidak menentu, namun tetap bersyukur dengan rezeki yang diberikan. Saya tidak boleh harapkan pada anak kerana mereka juga baru bekerja dan anak sulung saya pula sudah berumahtangga.

“Selagi kudrat masih ada, saya akan bertungkus lumus demi menyara keluarga terutama ibu yang bersusah payah membesarkan saya dan adik-beradik lain,” katanya.

Sumber-Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here