PKPB harap caruman Akaun 1 boleh dikeluarkan

0
36

 

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) berharap simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan supaya ia dapat membantu dalam tempoh kecemasan terutama bagi kegunaan pekerja berkemahiran di sektor perkilangan yang teruk terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Setiausaha Agungnya, Mohammad Rizan Hassan, berkata ini kerana golongan berkenaan kekurangan kerja lebih masa yang selama ini menjadi sumber pendapatan sokongan mereka.

Beliau berharap supaya cadangan itu dapat dipertimbangkan demi mengurangkan beban kewangan yang terpaksa ditanggung dalam tempoh sukar ketika ini.

“PKPB memberi sokongan penuh kepada cadangan banyak pihak agar pencarum KWSP dibenar mengeluarkan simpanan Akaun 1 KWSP.

“Walaupun kerajaan mempunyai alasan kukuh untuk tidak membenarkan pengeluarannya, PKPB ingin mengingatkan bahawa golongan pekerja berkemahiran di sektor perkilangan amat terkesan dengan situasi semasa kerana kekurangan bayaran kerja lebih masa yang selama ini adalah sumber pendapatan sokongan kepada mereka.

“Ini lebih memburukkan lagi keadaan apabila ramai dalam kalangan tenaga separuh mahir ke bawah kehilangan pekerjaan akibat penutupan dan pengecilan operasi kilang di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut masalah dihadapi pekerjaan berkenaan, Mohammad Rizan berkata terdapat kilang yang melalui proses pemulihan kesan dari PKP mula menggunakan automasi industri sepenuhnya yang memungkinkan tenaga kerja sedia ada bakal kehilangan pekerjaan mereka tidak lama lagi.

Beliau berkata PKPB menghargai segala usaha yang kerajaan lakukan seperti pelaksanaan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) namun hasilnya bukan dapat dilihat dalam masa singkat, sebaliknya ia lebih kepada suatu sokongan sosial.

“Justeru, kelonggaran pengeluaran wang KWSP dari Akaun 1 setidaknya dapat meringankan bebanan yang sedang ditanggung di samping memberi sedikit motivasi kepada pencarum agar merancang sesuatu untuk kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here