PM terawal suntik vaksin tingkatkan keyakinan ramai – Khairy

0
64

KUALA LUMPUR: Pemilihan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai individu pertama menerima suntikan vaksin sudah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Pemilihan Perdana Menteri bagi tujuan itu antara lain dibuat selepas menerima kebenaran daripada doktor peribadi beliau.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata pemilihan Muhyiddin adalah bagi membina keyakinan orang ramai berhubung tahap keselamatan vaksin COVID-19.

Ini kerana, katanya, masih ada pihak khuatir terhadap keselamatan vaksin, walaupun ia diuji ke atas puluhan ribu orang sebelum diberikan kepada lebih 100 juta rakyat di seluruh dunia.

“Perdana Menteri hanya berkongsi dengan Jemaah Menteri berkenaan perbincangan yang beliau adakan dengan Presiden Indonesia, Jokowi (Joko Widodo).

“Jokowi memaklumkan beliau ketika menerima vaksin daripada Sinovac, tidak rasa apa-apa, cuma sedikit keletihan. Muhyiddin juga menjangkakan ia kesan sampingan yang bakal dialami.

“Di Malaysia, kita nak beri keyakinan. Kalau ketua kerajaan (Muhyiddin) telah ambil vaksin dan tiada kesan buruk dan sebagainya, ini boleh meningkatkan keyakinan orang ramai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, pemilihan Muhyiddin itu antara lain dibuat berdasarkan faktor penilaian risiko.

“Ini kerana, Perdana Menteri berjumpa ramai orang, setiap hari. Ini membabitkan keadaaan di mana beliau dan orang lain terdedah kepada jangkitan (COVID-19).

“Kita telah buat penilaian risiko, mereka yang sentiasa bersama orang ramai seperti ahli politik dan sebagainya boleh dikira sebagai antara senarai keutamaan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Rembau itu menyatakan kesediaan untuk mengadakan pertemuan dengan wakil Pakatan Harapan (PH) dari semasa ke semasa.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan, struktur Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) di peringkat negeri turut membabitkan ahli politik daripada PH.

“Di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang, mereka (PH) adalah kerajaan negeri, jadi tidak timbul mereka tidak terbabit (dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan).

“Saya tetap akan berunding dengan Menteri Besar Selangor dan Negeri Sembilan serta Ketua Menteri Pulau Pinang,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here