Polis Johor tahan 17 ahli sindiket Macau Scam ‘luar bandar’

0
292

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan sindiket Macau Scam yang beroperasi di sebuah rumah inap desa di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Dalam serbuan dilakukan Bahagian Risikan/Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dan JSJK Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang kira-kira jam 10.35 pagi itu, 17 suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 33 tahun turut ditahan.

Mereka dipercayai bekerja di rumah inap desa berkenaan yang dijadikan pusat panggilan sindiket itu dan memperdaya mangsa dengan menyamar pegawai Pos Laju serta pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ini kali pertama Polis Johor mengesan taktik terbaru digunakan sindiket Macau Scam yang beroperasi di kawasan luar bandar, dipercayai bagi mengelabui mata pihak berkuasa.

“Sindiket Macau Scam ini beroperasi di sebuah unit rumah berkembar di Bandar Penawar yang juga sebuah inap desa disewa.

“Siasatan awal mendapati 17 suspek yang juga ahli sindiket yang ditahan, pada mulanya ditawarkan pekerjaan lain di media sosial dan hanya mengetahui pekerjaan sebenar selepas memasuki rumah yang dijadikan pusat panggilan sindiket Macau Scam berkenaan.

“Semua 17 ahli sindiket berkenaan bukan saja dikawal ketat sejak mula bekerja setahun lalu, malah segala pergerakan mereka dipantau rapi dan tidak dibenarkan keluar rumah, dengan segala keperluan termasuk makanan disediakan ketua sindiket yang masih bebas serta dan sedang dikesan.

“Semua ahli sindiket yang bekerja sebagai operator yang menyamar sebagai pegawai Pos Laju dan pegawai penguat kuasa itu diberi gaji antara RM2,000 hingga RM7,000 sebulan termasuk komisen antara tiga hingga lima peratus daripada jumlah wang mangsa berjaya diperdayakan, ” katanya pada sidang media di Pusat Media IPK Johor, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua JSJK IPK Johor, Asisten Komisioner Mohd Salleh Abdullah.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, modus operandi digunakan ahli sindiket itu termasuk menyamar pegawai Pos Laju dan memperdayakan mangsa kononnya kiriman atas nama mangsa ditahan kerana mengandungi barang menyalahi undang-undang.

“Ahli sindiket juga menyamar pegawai polis kononnya mangsa boleh ditangkap dan akan dikenakan tindakan undang-undang dengan penyamar seterusnya akan menawarkan membantu mangsa membuat laporan polis.

“Ahli sindiket kemudian menyamar pula sebagai pegawai penyiasat kes atau pegawai pengubahan wang haram (AMLA) dan menawarkan mangsa menyelesaikan kes dengan meminta maklumat diri serta perbankan mangsa sebelum mereka diminta membuat pindahan wang dalam akaun bank diberikan ahli sindiket Macau Scam berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, semua 17 suspek ditahan direman empat hari bermula hari ini hingga Sabtu ini dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here