Polis serbu rumah kongsi transit migran

0
179

KOTA TINGGI: Polis menahan enam lelaki warga Indonesia susulan terbabit dalam penyeludupan migran menerusi serbuan di sebuah rumah kongsi, di Padang Pasir Logok, Jalan Tenggaroh Selatan, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora, berkata dalam serbuan jam 1.30 pagi itu, dua tekong dan empat migran berusia 27 hingga 55 tahun ditahan.

Katanya, ketika serbuan, empat migran itu bersembunyi di dalam rumah penampungan dipercayai digunakan untuk transit oleh migran.

“Serbuan dijalankan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi, suspek dipercayai terbabit dalampenyeludupan migran yang membawa masuk dan keluar warga Indonesia ke Malaysia.

“Turut dirampas, lima telefon bimbit pelbagai jenama, wang tunai RM3,000 dan mata wang Indonesia IDR 2,000,350 (RM570.90).

“Individu yang ditahan ini daripada ahli sindiket Geng Cupeng yang terbabit dengan penyeludupan migran di kawasan Bandar Penawar dan Kuala Sedili,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, tekong yang ditahan direman 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 3 Mei depan, manakala pendatang asing tanpa izin (PATI) direman 14 hari sehingga 19 April ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here