Polis tumpas sindiket dadah guna kenderaan ‘essential service’

0
283

SHAH ALAM: Polis berjaya mematahkan sindiket pengedaran dadah menggunakan treler mengangkut barangan keperluan harian dengan penangkapan lima suspek dan merampas 150 ketul mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 149.23 kilogram bernilai RM373,075 pada Isnin lalu.

Kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan JSJN Selangor yang menahan lima suspek serentak dalam empat serbuan sekitar jam 6.15 pagi hingga jam 7 pagi.

Sindiket dadah terbabit mengambil kesempatan terhadap kelonggaran perjalanan diberi kepada kenderaan kategori ‘essential service’ ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, dengan memasukkan dadah dalam treler membawa barang kegunaan harian.

Timbalan Pengarah Narkotik (Perlucuthakan Harta/Perundangan/Tahanan) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat, berkata dalam serbuan pertama, dua suspek termasuk seorang warga Kemboja berstatus penduduk tetap ditangkap ketika sedang memunggah dadah dari treler ke sebuah kenderaan di tepi jalan di Taman Perindustrian Subang Jaya, di sini.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 150 ketul mampat dadah jenis ganja dianggarkan seberat 149.23 kilogram bernilai RM373,075.

“Dalam serbuan kedua, suspek berumur 42 tahun ditangkap di Seremban, Negeri Sembilan dan serbuan ketiga pula membabitkan seorang suspek berusia 38 tahun di Desa Petaling, manakala pada serbuan keempat di Pantai Dalam membabitkan seorang suspek berumur 37 tahun.

“Selain itu, polis juga merampas wang tunai RM51,000 dan lima kenderaan termasuk satu motosikal dengan anggaran keseluruhan RM500,000. Jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah adalah RM879,575,” katanya pada sidang media di IPK Selangor, di sini, hari ini.

Kamarulzaman berkata, modus operandi sindiket pengedaran dadah itu adakah menyeludup dadah dari kawasan sempadan di utara negara untuk dibawa ke Lembah Klang dengan menggunakan treler mengangkut barangan keperluan harian.

“Siasatan mendapati kegiatan sindiket ini aktif sejak pertengahan tahun lalu dengan sasaran pengedaran di selatan negara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar.

“Walaupun dalam tempoh PKP, pengedar dadah berani mengambil kesempatan terhadap kelonggaran diberi kepada kenderaan kategori ‘essential service’ dengan memasukkan dadah dalam kenderaan terbabit,” katanya.

Kamarulzaman berkata, siasatan mendapati empat suspek kecuali warga Kemboja mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan dadah dan jenayah yang pernah ditahan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

“Semua suspek berumur lingkungan 35 hingga 43 tahun itu kini direman sehingga 8 Februari ini,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here