PPM rampas lebih 6 tan buah seludup

0
164

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas lebih enam tan buah-buahan bernilai RM30,600 disyaki cuba diseludup dari negara jiran di kawasan perairan Pulau Sidam, dekat sini, petang Isnin lalu.

Dalam kejadian menerusi Ops Gelora Khas pada jam 6.15 petang itu, sepasukan anggota Botronda PSC 14, diketuai Inspektor Awang Faidzrus Awang Mohamad mengesan sebuah bot jongkong dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah Empat Tawau, Deputi Superintendan Mohd Nazari Ismail, berkata pemeriksaan awal ke atas bot jongkong mendapati ia sarat dengan muatan kotak kayu ditutup menggunakan kanvas.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kotak kayu itu mengandungi buah-buahan disyaki cuba diseludup masuk dari Indonesia.

“Siasatan ke atas juragan tempatan bersama pembantunya masing-masing berumur 20 dan 56 tahun itu juga gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran daripada Jabatan Pertanian untuk membawa masuk buah-buahan berkenaan.

“Rampasan membabitkan tiga tan buah mangga, dua tan avokado, satu tan buah naga dan 400 kilogram limau kasturi yang semuanya dianggarkan bernilai RM30,600 yang dipercayai untuk dipasarkan di daerah ini,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Mohd Nazari berkata, rampasan itu kejayaan kedua PPM Tawau selepas mematahkan cubaan penyeludupan buah-buahan jenis sama pada 16 Disember tahun lalu.

“Perbuatan membawa masuk barang dagangan termasuk buah-buahan tanpa permit import adalah satu kesalahan serius.

“Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Enakmen Peraturan Kuarantin Tumbuhan (Import dan Eksport) 1981,” katanya.

sumber: berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here