Premis disyaki simpan bahan pelarut diserbu

0
201

KUALA LUMPUR: Sebuah premis di Taman Seri Reko didapati menyimpan bahan pelarut yang disyaki menjadi punca pencemaran Sungai Langat.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan, pihaknya bersama Bahagian Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyerbu premis yang tidak berpenghuni di tepi Sungai Langat itu, semalam.

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan lanjut menemui 13 tong berkapasiti 160 liter dan enam tong berkapasiti lima liter bahan buangan berjadual yang tidak diuruskan dengan baik.

“Ia berpotensi menjadi punca pencemaran sungai dan pemilik premis boleh disiasat mengikut Seksyen 121 (1) (C) yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara selama tempoh 1 tahun atau kedua-duanya sekali.

“Premis itu didirikan di tanah rizab sungai disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah dan sedang dalam siasatan oleh pihak MPKj.

“Sebagai langkah mitigasi, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sudah menugaskan unit pemantauan siap siaga untuk sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sedang dalam proses siasatan lanjut memandangkan penemuan membabitkan bahan buangan berjadual.

Katanya, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pula sedang mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan isu ini tidak akan menyebabkan pencemaran terhadap sumber air.

“SPAN juga ingin memohon kerjasama orang awam untuk melaporkan kes yang disyaki melakukan pencemaran kepada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan SPAN di talian 03-8317 9333 atau emel keĀ [email protected],” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here