PEKAN: Calon Barisan Nasional Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, Mohd Sharim Md Zain bersama isteri Norhiliyana Abd Hamid, mengundi di Sekolah Agama Rakyat (KAFA) Felda Chini 3, jam 9.10 pagi tadi.
Mohd Sharim, 41, dan isterinya, Norhiliyana Abd Hamid, 27, hadir sedodon berbaju melayu dan kurung hijau.
Mohd Sharim berkata, beliau berpuas hati dengan proses pengundian dan berharap semua pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
Seramai 20,990 pengundi yang terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal layak mengundi untuk memilih satu daripada tiga calon iaitu calon BN, Mohd Shahrim Md Zain serta dua calon Bebas iaitu, Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.
Kerusi majoriti Melayu itu adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah Parlimen Pekan yang disandang bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

Selaras dengan amalan normal baru berikutan pandemik COVID-19, calon pada awalnya tidak diizinkan mengadakan kempen dari rumah ke rumah dan perhimpunan ceramah.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemudian melonggarkan keputusan ini, dengan maksimum 250 orang dibenarkan menghadiri ceramah dalam satu masa.
Namun, sentuhan atau berjabat tangan antara calon dengan pengundi masih tidak diizinkan selama berkempen.
SPR menjangkakan 70 peratus pengundi hari ini keluar mengundi dan telah melantik 32 pemerhati pilihan raya dari agensi kerajaan, NGO dan individu yang berkelayakan untuk memantau proses pemilihan.
infected