PRK Chini isyarat awal kerjasama PN hadapi PRU-15

0
53

PEKAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan menjadi isyarat awal kerjasama antara pimpinan dalam Perikatan Nasional (PN) yang boleh diterjemahkan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, berkata kerajaan PN yang ada jelas mengutamakan isu penting seperti kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kita hendak pastikan trend sebelum pilihan raya itu kekal hingga PRU-15 nanti. PRK DUN Chini ini boleh menjadi titik-tolak kepada kebangkitan kerjasama dalam PN.

“Jika ada pihak lain membantu dan menyokong calon kita, kita terima dengan hati terbuka. Ia beri landasan baik dalam apa saja perancangan bagi PRU-15,” katanya kepada BERNAMA selepas menyampaikan ceramah di FELDA Chini 5 dekat sini, malam tadi.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata adalah tidak wajar sesetengah pihak memainkan isu calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain tidak dilahirkan di Pahang, sedangkan beliau ialah generasi kedua peneroka FELDA Chini.

Beliau berkata, bagi mencari pemimpin adalah penting bagi memilih seseorang yang dekat dan memahami masyarakat setempat dengan Mohd Sharim memenuhi kriteria itu.

“Tidak penting orang itu dari mana, sebaliknya apa yang penting orang itu bersedia membela masyarakat setempat. Saya percaya beliau tidak akan kecewakan kita jika kita tidak kecewakan beliau dengan memberikan kemenangan terhadap calon BN pada 4 Julai ini,” katanya.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dengan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Sumber – BERNAMA

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here