Program DLP bunuh dasar Bahasa Kebangsaan

0
54

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Program Dwibahasa (DLP) di sekolah rendah dan menengah, dikhuatiri akan ‘membunuh’ dasar Bahasa Kebangsaan dalam pendidikan negara.

Keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) membenarkan DLP diteruskan antara lain diumpamakan sebagai ‘bodoh sombong’ kerana mengulangi kegagalan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dimansuhkan pada 2012.

Presiden Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Kamal Shukri Abdullah Sani, berkata badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan bahasa, membantah keras keputusan KPM kerana ia menafikan penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran subjek Matematik dan Sains.

“Bagi kami, ini keputusan yang ‘bodoh sombong’, sedangkan (warga) KPM terdiri daripada pakar, sarjana yang cerdik pandai.

“Kegagalan PPSMI dahulu jelas, peningkatan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar cuma empat peratus dan difahamkan peruntukan bagi pelaksanaannya mencecah RM12 bilion.

“Bahkan, penguasaan subjek Sains dan Matematik khususnya dalam kalangan pelajar Bumiputera jatuh merudum sehingga kurang pelajar di universiti yang mengambil dua aliran berkenaan kerana bimbang tidak dapat menguasainya,” katanya.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon, berkata KPM akan meneruskan Program Dwibahasa (DLP) dengan memberi kebenaran kepada pihak sekolah yang memilih untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Kamal Shukri berkata, sehubungan itu, NGO menggesa kerajaan menarik semula program DLP di sekolah kerana ia menyebabkan wujud perbezaan ‘darjat’ yang ketara khususnya bagi penduduk di bandar dan luar bandar.

“Kemungkinan, sekolah berasrama penuh dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) akan meneruskan DLP, manakala pelajar sekolah di luar bandar akan teruskan pengajian dalam bahasa Melayu.

“Jadi, akan wujud dua darjat dan dua aliran sebagaimana dahulu, iaitu aliran Melayu dan Inggeris.

“Maka, hancurlah pancang asas yang dimulakan Menteri Pelajaran, Allahyarham Tun Abdul Rahman Ya’kub pada 1970 yang menyatupadukan semua sekolah rendah dan menengah Inggeris menjadi sekolah kebangsaan,” katanya.

Beliau turut berkata, pelaksaanaan DLP bukan sahaja memberi implikasi kepada pelajar, tetapi turut mengundang masalah kepada urusan pentadbiran kepada warga sekolah.

“Walaupun DLP dikatakan satu pilihan, tapi ada sekolah dan guru besar yang telah dipaksa secara halus.

“Mereka diminta menghantar surat tunjuk sebab sekiranya enggan melaksanakan DLP.

“Menambah kerumitan, apabila ia menyusahkan bahagian pertukaran guru, apabila guru yang boleh mengajar dalam bahasa Inggeris terpaksa ditukar ke sekolah yang melaksanakan DLP,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pihak NGO bahasa sedia bersemuka dengan KPM bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai pelbagai isu termasuk DLP.

“Kami memohon supaya KPM menarik semula pelaksanaan DLP dan menggesa campur tangan Perdana Menteri.

“Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memansuhkan PPSMI, ketika itu beliau memegang portfolio Menteri Pendidikan,” katanya.

SUMBER: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here