Promosi Labu manis berharga RM1 sebiji

0
251

KUANTAN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang kini giat mempromosikan jualan labu manis pada harga serendah RM1 sebiji di Pasar Segar Terkawal (PST) sekitar negeri ini.

Timbalan Pengarah Bahagian Operasi FAMA Pahang, Shabuddin Mohd Nor, berkata usaha terbabit bertujuan memastikan buah dibekalkan 80 pekebun di Pekan dan Rompin itu dapat dipasarkan secara berterusan.

Katanya, hasil pertanian itu turut dihantar ke FAMA Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Selangor dengan lebih 50 tan sudah diagih secara berperingkat sejak tiga minggu lalu.

Beliau berkata, setiap FAMA negeri menerima lima hingga 10 tan labu dan jumlah itu dijangka bertambah, manakala aktiviti penghantaran akan terus dilakukan apabila mendapat permintaan.

“Kita jangkakan membeli lebih 300 tan labu manis hasil keluaran 80 pekebun di Pekan dan Rompin. Aktiviti belian dilakukan setiap minggu bermula 20 Mei lalu.

“Sebelum ini, pekebun memasarkan hasil tanaman labu mereka kepada seorang pemborong utama.

“Namun disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), pemasaran tidak dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau menjelaskan, pengeluaran labu manis di dua daerah itu meningkat satu hingga dua kali ganda pada musim ini, namun faktor permintaan rendah menyebabkan pasaran kini agak perlahan.

Katanya, ini adalah kali pertama FAMA bertindak membeli hasil petani terbabit.

Shabuddin berkata, kebanyakan pekebun yang mengusahakan tanaman labu itu ialah pesawah selepas selesai musim menuai padi.

Beliau berkata, bagi memastikan kejadian lambakan labu tidak terus berlaku selepas ini, pihaknya mengambil keputusan untuk menawarkan mereka menjadi peserta ladang kontrak FAMA.

“Mereka yang berminat boleh menerima tawaran itu. Peserta ladang kontrak mendapat beberapa kemudahan seperti semua hasil labu mereka dibeli FAMA mengikut harga lantai, kemudahan pengangkutan dan khidmat nasihat, termasuk penyusunan jadual penanaman setiap tahun.

“FAMA sedang giat mengadakan aktiviti promosi supaya masyarakat makan labu kerana buah itu memiliki banyak khasiat seperti sumber karbohidrat yang tinggi, kaya serat dan mampu menurunkan berat badan,” katanya sambil menjangkakan pembelian labu boleh mencecah RM250,000.

Sumber: Berita Harian

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here