PTPTN bantu 1,480 penuntut asnaf

0
90

KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan RM148,000 melalui zakatnya untuk membantu seramai 1,480 penuntut asnaf daripada 37 institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara.

Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada golongan asnaf.

Menurutnya, usaha itu selaras peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara dan salah sebuah agensi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa cakna dengan keperluan penuntut IPT.

Katanya, penuntut asnaf terbabit akan menerima RM100 setiap seorang iaitu simpanan dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).

“PTPTN memahami kesusahan yang dialami penuntut asnaf yang menuntut di IPT dan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka meneruskan pengajian.

“Harapan saya supaya penuntut terbabit dapat meneruskan pengajian dengan baik walaupun pelbagai cabaran mendatang terutama pandemik Covid-19 yang masih belum reda dan beban kesan ekonomi semasa negara,” katanya dalam kenyataan media.

Terdahulu, Wan Saiful menyempurnakan simbolik penyampaian sumbangan kepada Presiden MPPK Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri selaku wakil penuntut.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid dan Pengarah Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) KPT merangkap Penasihat MPPK, Dr Mohd Suzeren Md Jamil.

Wan Saiful berkata, kerjasama MPPK sebagai badan perwakilan menjaga kebajikan penuntut membolehkan PTPTN merealisasikan hasrat untuk membantu golongan asnaf terbabit.

“MPPK akan menyalurkan maklumat penuntut asnaf kepada PTPTN berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) IPT masing-masing.

“Ia bagi memastikan sumbangan disalurkan kepada yang layak dan jalinan kerjasama PTPTN dengan MPPK akan diperluaskan lagi demi kebajikan penuntut.

“Sumbangan ini bukan saja memberi manfaat kepada penuntut di IPT, malah mampu mengurangkan beban kewangan mereka selain usaha menyemai kesedaran penabungan serta mendidik literasi kewangan yang baik,” katanya.

sumber:berita harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here