PUNB, KBS sasar latih 1,500 usahawan MyPRENEUR

0
104

KUALA LUMPUR: Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menyasarkan untuk melatih 1,500 belia menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada program pembangunan keusahawanan, Malaysia Youth Entrepreneur (MyPRENEUR) bagi menggalakkan pembabitan lebih ramai belia dalam bidang keusahawanan di negara ini.

Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar, berkata inisiatif MyPRENEUR ini menjadi nilai tambah kepada usaha PUNB melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera terutama dalam kalangan belia.

Beliau berkata, kira-kira 1,500 belia itu dikenal pasti oleh KBS yang mempunyai potensi keusahawanan untuk dikembangkan menerusi program dilaksanakan PUNB.

“Antara program sudah dikenal pasti ialah penganjuran Program PUNB Uni-Challenge iaitu program keusahawanan berkonsepkan pertandingan dengan fokus utama kepada belia dilatih di Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan serta sesi Biz Konsultansi bersama PUNB iaitu sesi konsultasi perniagaan yang memberikan khidmat nasihat, panduan dan tunjuk ajar dalam menentukan hala tuju perniagaan mereka.

“Selain itu, kami akan menawarkan sesi ‘coaching’ bersama pakar industri pilihan yang sudah dikenal pasti PUNB,” katanya dalam kenyataan sempena pelancaran MyPRENEUR PUNB KBS yang diadakan secara maya di akaun rasmi Facebook PUNB dan KBS, hari ini.

Majlis itu turut membabitkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Noh berkata, menerusi kerjasama ini, belia yang berkelayakan akan dipelawa menyertai program JUMPER Start-Up.

Katanya, program latihan sangkut bersama mentor dalam industri pilihan ini akan berlangsung sehingga lapan bulan dan dalam tempoh itu, peserta ditempatkan di premis perniagaan mentor untuk mempelajari dunia perniagaan.

“Menariknya, sebaik tamat latihan, mereka layak memohon geran perniagaan berjumlah RM10,000 dan memohon pembiayaan perniagaan untuk mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

Noh berkata, pelaksanaan program dirancang ini akan dipantau rapi untuk memastikan ia memberi impak dan hasil diharapkan iaitu melahirkan usahawan baharu, sekali gus mencipta rantaian peluang pekerjaan untuk belia di negara ini. –BERNAMA

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here