Rakyat Malaysia antara 4 kes import positif COVID-19 di Singapura

0
39

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan satu daripada empat kes import COVID-19 yang diumumkan semalam membabitkan seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun.

Dilabel sebagai kes 58400, pemegang permit kerja yang tiba dari Malaysia itu dikenakan Notis Duduk Di Rumah (SHN).

Menurut data penuh yang dikeluarkan malam tadi, kementerian itu memaklumkan lelaki berkenaan dan tiga kes import yang lain tidak bergejala (asymptomatic) dan dikesan menerusi pengawasan serta saringan proaktif.

Setakat jam 12 tengah hari semalam, republik itu melaporkan lima kes baharu dengan satu kes penularan dalam komuniti, menjadikan jumlah kes kepada 58,195.

Kali terakhir Singapura melaporkan kes dalam komuniti ialah pada 10 November lalu.

Setakat ini, Singapura mengklasifikasikan 1,421 kes yang dilaporkan sebagai import, 2,272 kes dalam komuniti dan 54,502 membabitkan penghuni asrama.

Hampir 99 peratus atau 58,104 kes sudah sembuh sepenuhnya manakala 43 kes masih dirawat di hospital dengan satu kes berada di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 20 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal sihat tetapi diuji positif COVID-19 sudah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Sehingga kini, 28 orang meninggal dunia akibat komplikasi dijangkiti COVID-19 di republik ini dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Kelmarin, Singapura menamatkan kluster terakhir iaitu asrama pekerja asing.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here