Rakyat menderita jika Belanjawan 2021 tergendala

0
35

Saya bukan pegawai tinggi kerajaan, sebaliknya kakitangan biasa dengan gaji hanya cukup menanggung keluarga dan keperluan harian.

Menunggu Jumaat ini, hati saya berdebar dan mungkin juga perasaan sama turut dirasai kakitangan kerajaan yang lain. Saya bimbang jika Belanjawan 2021 gagal mendapat kelulusan.

Bohonglah jika dikatakan saya dan rakan penjawat awam lain tidak bimbang perkembangan politik semasa. Bohong juga jika ada yang menyatakan kami tidak perlu risau kerana kepentingan kakitangan awam tetap terjaga walau apapun berlaku.

Memang kebanyakan kami kakitangan bawahan kurang arif mengenai politik. Kami hanya menunaikan amanah dan tugasan mengikut arahan pegawai atasan.

Namun, sedikit sebanyak kami tahu kepentingan belanjawan dan perkembangan politik semasa memang mengundang gundah-gulana.

Walaupun belum pernah berlaku dalam sejarah negara, kami tahu apa natijahnya jika Belanjawan 2021 tidak dapat sokongan Ahli Parlimen serta kesannya kepada negara, perkhidmatan awam dan masyarakat.

Kami berdoa agar ia dijauhkan dan tidak berlaku ketika semua bergelut melawan wabak berbahaya, COVID-19 iaitu musuh yang tidak kelihatan.

Apa nasib kami jika Belanjawan 2021 tidak diluluskan? Tiada gaji untuk penjawat awam, peruntukan pembangunan dan dana bagi kerajaan membelanjakan untuk apa-apa tujuan tahun depan.

Jika ini berlaku, mungkin kerajaan baharu perlu dipilih melalui pilihan raya umum (PRU) kecuali jika semua parti politik setuju berunding mendahulukan kepentingan rakyat dan negara melangkaui segalanya.

Jika pemimpin politik lebih pentingkan kuasa, kami penjawat awam akan teraniaya, Belanjawan 2021 tergendala dan mungkin mengambil masa berbulan-bulan juga untuk tunggu ia dibentangkan semula.

Berdasarkan maklumat yang saya baca, Belanjawan 2021 akan dibentang pada 6 November, disusuli perbahasan yang mungkin kira-kira dua minggu dan kemudian undian Ahli Parlimen.

Setahu saya, jika gagal mendapat undi majoriti daripada 222 Ahli Parlimen, bermakna Perdana Menteri terpaksa memberi laluan kepada Ahli Parlimen lain menggantikannya atau membubarkan Dewan Rakyat dan mengembalikan mandat kepada rakyat.

Mungkin PRU terpaksa diadakan dan kemudian Perdana Menteri baharu dilantik disusuli anggota Kabinet pilihannya. Selepas itu, baru belanjawan dibentangkan semula, sama ada kerajaan baharu menggunakan belanjawan sedia ada atau merangka bajet baharu.

Berapa lama agaknya perlu diambil untuk semua proses itu? Mungkin beberapa bulan, mungkin sehingga Mac depan baru belanjawan diluluskan, itu pun jika disokong majoriti Ahli Dewan.

Perkara ini tidak menjejaskan orang kaya atau golongan berkemampuan bukan seperti nasib kami kakitangan awam marhaen ini. Di mana kami mahu mencari wang untuk menyara kehidupan dari Januari tahun hadapan?

Belanjawan tertangguh bermakna kerajaan tidak dapat menggunakan dana untuk membayar gaji kepada kakitangannya, termasuk petugas barisan hadapan bergadai nyawa dalam perang menentang virus berbahaya.

Ia juga bermakna kerajaan tidak boleh berbelanja untuk sebarang perolehan, membeli kelengkapan perubatan seperti pakaian perlindungan diri (PPE) untuk petugas kesihatan, kit ujian COVID-19, ubat-ubatan dan semua yang diperlukan bagi melawan ‘musuh’ dalam gelombang ketiga pandemik yang masih mengancam.

Belanjawan yang gagal diluluskan pasti membawa berita buruk untuk insan marhaen seperti kami, entah-entah hidup akan merempat. Sudahlah gaji tidak seberapa, moratorium bayaran pinjaman pula sudah tamat.

Saya tidak tahu apa perasaan orang lain, tetapi saya memang risau dengan nasib keluarga. Selepas isteri diberhentikan kerja kerana syarikatnya tidak lagi mampu bertahan angkara COVID-19, saya satu-satunya mencari rezeki, tempat bergantung harap anak dan isteri.

Saya merayu, kasihanilah kami, akurlah titah Yang di-Pertuan Agong supaya semua ahli politik hentikan politiking. Kepada semua Ahli Parlimen, sokonglah belanjawan untuk kepentingan negara dan rakyat.

Ikmal Salahuddin, Parit Raja, Johor

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here