Ramai ibu bapa tak benarkan anak ke sekolah, risau ancaman COVID-19

0
106

KUALA LUMPUR: Khuatir penularan dan jangkitan COVID-19, kebanyakan ibu bapa mengambil keputusan tidak menghantar anak mereka ke sekolah.

Kebimbangan mereka ditambah dengan peningkatan kes harian yang menyaksikan jumlah kes positif negara melepasi tiga angka selain pertambahan beberapa kluster baharu dan kawasan yang dikategorikan sebagai zon merah.

Suri rumah, Azwatina Jamaluddin, 35, berkata dua anaknya masing-masing berusia enam dan lapan tahun tidak lagi ke sekolah sejak semalam kerana khuatir dengan peningkatan kes positif COVID-19 kebelakangan ini.

Katanya, dia dan suami, Mohd Tarmizi Ruslee, 40, turut memaklumkan pihak sekolah mengenai ketidakhadiran anak mereka.

“Buat masa ini, biarlah mereka belajar di rumah, mungkin untuk sepanjang minggu ini. Jika kes berkurangan, minggu depan mereka akan ke sekolah semula,” katanya.

Peniaga, Mohd Marzuki Abdullah, 47, berkata anaknya yang berada di Tahun Dua sebuah sekolah swasta tidak lagi ke sekolah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac lalu.

“Saya sendiri sudah maklumkan kepada pihak sekolah akan menghantar semula anak bermula tahun depan. Sebagai bapa, saya risau ditambah dengan peningkatan kes yang terlalu mendadak baru-baru ini.

“Buat masa ini, anak saya belajar di rumah malah pihak sekolah ada membantu dari segi pembelajaran dan pengajaran di rumah,” katanya.

Usahawan tanaman hiasan, Surianie Mohd Hanif, 42, turut mengambil pendekatan sama apabila tidak membenarkan anaknya yang berusia 13 tahun ke sekolah bermula hari ini.

Katanya, dia turut dimaklumkan ramai ibu bapa lain mengambil keputusan tidak menghantar anak mereka ke sekolah kerana bimbang dengan keadaan semasa COVID-19.

“Semalam sahaja, saya dimaklumkan ada 10 pelajar dalam kelas anak saya, tidak hadir ke sekolah. Sebenarnya ramai lagi ibu bapa ‘mencutikan’ anak mereka kerana masing-masing bimbang,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Siti Ainiza Kamsari, berkata bagi ibu bapa yang tetap menghantar anak mereka ke sekolah dinasihatkan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Saya sendiri masih membenarkan anak ke sekolah sebab selagi kita sebagai ibu bapa boleh mengawal pergerakan anak, mudah-mudahan dihindari perkara yang tidak diingini.

“Memang saya ada terfikir tidak mahu membenarkan anak saya ke sekolah, namun tidak mahu menganggap mereka melanggar peraturan dan dikenakan apa-apa tindakan jika berbuat demikian,” katanya.

SUMBER : BERITA HARIAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here