Remaja sakit buah pinggang kronik rindu ke sekolah

0
44
 
KOTA BHARU: “Kak Chik sedih sebab tak boleh ke sekolah…rindu nak belajar dengan kawan-kawan yang lain macam dulu,” luahan remaja Nurhanis Mohamad kepada ibunya, Asmiza Mustapha.
 
Asmiza, 45, berkata anak keempat berusia 17 tahun daripada lima beradik itu hanya sempat belajar sehingga Tahun Enam berikutan penyakit buat pinggang kronik (CKD) tahap lima yang dideritai sejak tujuh tahun lalu dan kini perlu menjalani rawatan dialisis seumur hidup.
 
“Disebabkan keadaan dirinya yang agak terbatas saya menghantarnya ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kadok, sejak dua tahun lalu, walaupun tidak boleh menulis dan membaca kerana matanya sudah kabur selain tangannya juga sering menggigil kerana penyakit saraf,” katanya ketika ditemui di Kampung Biah, di sini, semalam.
 
Katanya, selain penyakit CKD, anaknya juga berdepan dengan pelbagai komplikasi seperti saraf, tekanan darah tinggi dan sawan.
 
“Penyakit saraf menyebabkannya tidak boleh berdiri terlalu lama berikutan kedua-dua kakinya tidak lurus atau membengkok dan perlu menggunakan kerusi roda untuk bergerak serta perlu bergantung kepada ubat darah tinggi, saraf dan sawan setiap hari, sekali gus menyebabkan berat badannya kini 21 kilogram (kg) dan tidak membesar seperti remaja yang seusianya,” katanya.
 
Menceritakan semula keadaan anaknya itu, Asmiza berkata, anaknya itu pada mulanya dia diserang sawan ketika tidur sebelum ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) selama empat hari untuk rawatan lanjut.
 
“Anak saya kemudiannya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan dirawat selama dua bulan bagi memastikan tahap kesihatannya dan hasil pemeriksaan, doktor pakar mengesahkan kandungan urea dalam buah pinggangnya terlalu tinggi.
 
“Sejak lima tahun lalu, hampir seluruh badannya ditebuk termasuk di leher, dada dan perut untuk memasukkan tiub bagi rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD). Bermula 2017, dia perlu menjalani dialisis di hospital setiap tiga kali seminggu untuk mencuci darah,” katanya.
 
Beliau juga berkata, suaminya Mohamad Jaafar, 49, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu bas terpaksa berhenti bagi memudahkan urusan rawatan anak mereka.
 
“Kami mencari inisiatif dan sepakat untuk membuka kedai makan berhampiran rumah dengan sewa kedai RM400 sebulan untuk menyara keluarga. Walaupun pendapatan jualan harian tidak menentu namun kami bersyukur kerana masih ada rezeki.
 
“Bagaimanapun beban yang ditanggung sedikit ringan apabila anak sulung, Nur Haifa Mohamad, 24, yang baru menamatkan pengajian dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) turut membantu dengan melakukan perniagaan secara kecil-kecilan dalam talian sementara mendapatkan pekerjaan tetap,” katanya.
 
Asmiza berkata, selain perbelanjaan untuk dua anaknya yang masih belajar, dia juga perlu memperuntukkan RM1,000 sebulan bagi keperluan Nurhanis termasuk susu khas, lampin pakai buang dan juga kos ulang alik ke hospital selain bayaran sewa rumah RM300 sebulan.
 
Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here