Rim, tayar kangkang hanya undang bahaya – MIROS

0
76

KUALA LUMPUR: Pengubahsuaian melampau pada roda kenderaan, termasuk memasang rim dan tayar terkeluar daripada ruang roda kenderaan atau ‘hellaflush’, hanya mengundang bahaya.

Penggunaan rim dan tayar kangkang pada kenderaan boleh menjejaskan kecekapan tayar ketika membrek, terutama pada permukaan yang basah dan mengurangkan jangka hayat tayar.

Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan kerosakan tayar yang tidak disedari boleh mengundang bahaya, sekiranya tayar pecah ketika kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi.

Ketua Unit dan Penganalisis Kemalangan Prinsipal, Unit Pengoperasian dan Pengurusan Data Kemalangan MIROS, Ahmad Noor Syukri Zainal Abidin, berkata penggunaan rim dan tayar ‘hellaflush’ amat berisiko kerana mengurangkan keupayaan tayar membrek.

“Untuk memasang rim dan tayar kangkang, pengubahsuaian secara melampau dilakukan kepada sudut ‘camber’ kenderaan untuk memuatkan komponen berkenaan, selain mengubah suai sistem suspensi supaya kenderaan kelihatan lebih rendah.

“Ini menyebabkan rim dan tayar berada dalam kedudukan terkeluar daripada ruang roda yang sepatutnya dan berada dalam posisi senget atau condong, seterusnya kelihatan terkangkang secara berlebihan.

“Apabila tayar tidak berada dalam kedudukan yang tidak sepatutnya (condong) disebabkan ‘extreme cambering’, ini akan menjejaskan titik sentuh tayar dengan permukaan jalan,” katanya semalam.

Ahmad Noor Syukri berkata, tayar condong mengakibatkan berat kenderaan terbeban ke dinding tepi tayar berkenaan dan bukan pada permukaan tayar yang berbunga.

Dinding tepi ialah bahagian tayar yang tipis dan hanya mampu menanggung beban yang rendah dan pergeseran dengan permukaan jalan akan merosakkan strukturnya.

“Apabila tayar berada dalam keadaan terkangkang, ini akan meletakkan beban pada titik sentuh yang tidak sepatutnya,” katanya.

Menurut Ahmad Noor Syukri, ruang ‘contact point’ pada tayar yang dipasang secara normal kecil, dan akan bertambah kecil apabila ia terbeban pada dinding tepi tayar kangkang.

“Titik sentuh lebih kecil dengan permukaan jalan akan memberi kesan kepada sentuhan geseran yang memainkan peranan besar sebagai kuasa mencengkam ketika tayar membrek.

“Apabila tayar gagal membrek dengan baik, ia boleh menyebabkan berlaku perkara yang tidak diingini, sekaligus membahayakan pemandu itu sendiri serta pengguna jalan raya lain,” katanya.

Ahmad Noor Syukri berkata, penggunaan tayar ‘hellaflush’ juga akan memberi kesan kepada ‘cyclic loading’ (beban siklik), iaitu pembebanan berulang daripada segi ‘strain’ (ketegangan) dan ‘stress’ (tekanan) ke atas tayar.

“Faktor itu menyumbang kepada ketahanan tayar. Pemasangan tayar ‘hellaflush’ boleh menjejaskan ketahanan dan merosakkan tayar.

“Kerosakan pada tayar boleh membahayakan kerana ia mungkin boleh pecah ketika kenderaan itu sedang dipandu, seterusnya mengundang berlaku kemalangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pengubahsuaian melampau pada sistem suspensi dan sudut ‘camber’ yang lebih condong pada kenderaan ditambah dengan beban berlebihan boleh menyebabkan kerosakan kepada penyerap hentak serta komponen suspensi lain.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here