RM1.55 bilion hasil pendapatan pelaburan TH

0
34

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mencatat pendapatan pelaburan sebanyak RM1.55 bilion dalam tempoh setengah tahun pertama tahun ini disokong pelaburan di pasaran sukuk dan saham.

Pelaburan aset pendapatan tetap menyumbang RM1 bilion iaitu 65 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan TH bagi tempoh Januari hingga 30 Jun lalu.

Pelaburan hartanah menjana pendapatan RM204.57 juta, manakala instrumen pasaran wang Islam menyumbang sebanyak RM187.13 juta dan RM150.27 juta pula daripada pelaburan ekuiti.

Peningkatan pendapatan ini menghasilkan keuntungan bersih sebanyak RM1.25 bilion berbanding RM849.66 juta pada tempoh enam bulan yang sama pada 2019.

Jumlah aset TH juga melebihi liabiliti sebanyak RM1.86 bilion sehingga 30 Jun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, TH sedang membuat persediaan untuk menghadapi pengurusan ibadah haji yang lebih rumit pada tahun depan berikutan penangguhan pada musim ini termasuk menangani cabaran baru seperti penyampaian perkhidmatan yang mengambil kira situasi Covid-19.

“Penularan wabak Covid-19 memberi impak yang ketara terhadap ekonomi dan pasaran kewangan dunia, termasuk ekonomi dan pasaran kewangan tempatan.

“Kejutan Covid-19 juga berlaku dalam situasi ekonomi global yang lemah berikutan harga minyak mentah yang rendah dan kemelut perang perdagangan antara ekonomi besar dunia.

“Sebagai sebuah institusi pengurusan haji dan pelaburan yang aktif di pasaran kewangan, TH turut terkesan dengan impak wabak itu pada awal tahun ini berikutan langkah pengawalan penularan jangkitan namun keadaan pasaran kewangan beransur pulih apabila aktiviti ekonomi dibenarkan semula bersama langkah menerusi pelan rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Nik, impak besar daripada wabak Covid-19 ke atas ekonomi dunia dan negara menjadi cabaran utama bagi TH dalam menguruskan pelaburan demi melindungi kepentingan pendeposit.

Bagaimanapun, Nik berkata, TH sudah mengambil langkah untuk mengenal pasti kesan Covid-19 ke atas pelaburan melalui pemantauan berkala.

Katanya, TH juga perlu menjadi lebih efisyen dengan menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan kos untuk kelangsungan operasi.

“Pasaran saham tempatan Bursa Malaysia yang jatuh lebih 23 peratus semasa kemuncak pandemik Covid-19 kembali meningkat hampir kepada paras asal.

“Indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras 1,500.97 mata pada 30 Jun dan hanya melibatkan perbezaan 5.5 peratus daripada 1,588.76 mata pada 31 Disember tahun lalu.

“Ini tidak bermakna tekanan ke atas prestasi dan penilaian aset TH, seperti di dalam sektor hartanah berkurangan,” katanya.

Di sebalik cabaran ditempuhi, Nik berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan oleh pendeposit dalam masa yang mencabar ini.

“TH yakin wabak Covid-19 akan berakhir dan akan terus bekerja keras untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pendeposit dalam apa jua keadaan sekali pun.

“Melangkah ke hadapan, perkhidmatan digital akan menjadi fokus utama TH memandangkan sebahagian besar pendeposit TH adalah terdiri daripada golongan celik teknologi.

“Kepercayaan dan sokongan pendeposit kepada TH kekal utuh dengan jumlah deposit sebanyak RM73.86 bilion pada 30 Jun lalu berbanding RM69.42 bilion pada 31 Disember 2019 dengan 123,000 akaun simpanan baharu di buka dalam tempoh sama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

infected

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here