RM13.8 juta bantuan tunai Sabah Prihatin diagih

0
280

PAPAR: Sebanyak RM13.813 juta sudah dibayar kepada 46,046 penerima Bantuan Tunai Sekali Bayar berjumlah RM300 seorang yang diagihkan kerajaan negeri Sabah, setakat semalam.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, berkata Bantuan Sabah Prihatin COVID-19 2.0 itu dilaksanakan kerajaan negeri untuk membantu penduduk negeri ini yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, bantuan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM97 juta dengan 323,334 penerima di negeri ini dan pembayaran sudah bermula sejak 29 Januari lalu.

“Kerajaan negeri Sabah memberi bantuan ini atas rasa tanggungjawab kepada rakyat yang terjejas berikutan pelaksanaan PKP 2.0 akibat penularan pandemik COVID-19,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di daerah ini, semalam.

Antara pengisian lawatan itu ialah penyampaian Bantuan Tunai Sekali Bayar RM300 dan Bakul Makanan COVID-19 kerajaan negeri kepada pekebun kecil getah di Pusat Semaian Getah, Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS), Kampung Kabang, di sini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Menteri Tugas-Tugas Khas negeri, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong dan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, kerajaan negeri sedar pelaksanaan PKP 2.0 menyebabkan ramai rakyat terjejas termasuk tidak dapat meneruskan perniagaan kecil-kecilan, selain hilang pekerjaan.

“Bagi yang tidak tersenarai sebagai penerima Bantuan Sabah Prihatin 1.0 tetapi turut terjejas akibat pandemik ini, mereka boleh mengemukakan rayuan (untuk menerima bantuan).

“Rayuan boleh dikemukakan melalui Pejabat Daerah masing-masing atau menerusi kementerian atau agensi yang menguruskan bantuan berkenaan,” katanya.

Mengenai pemberian bakul makanan, beliau berkata, sebanyak 7,547 bakul makanan sudah diagihkan bagi tahun ini, setakat 7 Februari 2021.

Katanya, pelbagai bantuan yang diberikan kerajaan negeri adalah antara inisiatif dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya berkaitan kesejahteraan rakyat.

“Ini bagi memastikan semua rakyat tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa tetapi terjejas akibat COVID-19 dan pelaksanaan PKP akan dibantu oleh kerajaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here