RM4 juta bantuan Musa’adah COVID-19 diagih

0
99

PUTRAJAYA: Sejumlah RM4 juta Tabung Musa’adah COVID-19 diagihkan bagi membantu golongan memerlukan di seluruh negara setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata agihan itu membabitkan kelompok sasar dalam pelbagai bentuk bantuan.

“Sebanyak 65 peratus daripada RM6 juta yang disumbang orang ramai melalui Tabung Musa’adah COVID-19 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)-Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) sudah diagihkan.

“Sehingga Januari lalu, kita sudah mengagihkan peruntukan RM15 juta bagi membantu golongan memerlukan di seluruh negara.

“Sehubungan itu, saya menggalakkan individu, syarikat korporat dan orang ramai dapat menghulurkan sumbangan ke tabung ini bagi membantu lebih ramai golongan memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan Konvoi Program Musa’adah Bantuan Bencana Alam Pasca Banjir ke Dungun, Terengganu dan sumbangan Tabung Musa’adah COVID-19 hari ini.

Pada majlis sama, Zulkifli turut menyampaikan sumbangan RM24,400 kepada 122 mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam kalangan golongan B40.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Mohd Ajib Ismail.

Zulkifli berkata, pihaknya memperuntukkan RM600,000 bagi misi bantuan banjir berkenaan terdiri barangan keperluan seperti dapur gas, tilam, bantal, keperluan wanita dan kanak-kanak serta pek makanan kering.

“Semua bantuan ini akan diagihkan kepada 200 ketua isi rumah.

“JAKIM-YWM turut menyumbang RM15,000 bagi pembiayaan kos ujian calitan kepada 60 petugas barisan hadapan Pasukan Pengurusan Jenazah COVID-19 JAWI,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here