Rokok, arak dan mercun bernilai RM733,434 dirampas

0
9

KLUANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) Johor merampas arak, rokok dan mercun bernilai RM733,434 dalam dua serbuan di rumah sewa di Jalan Nipah dan Jalan Ara di Kampung Dato Rahman Yassin, di sini.

Dalam serbuan secara berasingan jam 4.50 petang semalam itu, polis menahan dua lelaki tempatan berusia 35 dan 49 tahun.

Pegawai Pemerintah Batalion 5 PGA, Superintendan Dimin Awang, berkata pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan 547 kotak mercun pelbagai jenis, 556 karton rokok dan 81 karton arak pelbagai jenama yang tidak mempunyai cukai kastam.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati semua barangan yang diseludup dari negara jiran itu dipercayai untuk bekalan sempena sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

“Polis turut merampas sebuah kereta Perodua Alza milik suspek dan wang tunai sebanyak RM5,000.

“Hasil siasatan, semua barang rampasan ini adalah untuk pasaran di sekitar daerah Kluang dan Johor Bahru.

“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) dan Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media di Dewan Baris, Batalion 5 PGA hari ini.

Dimin berkata, pihaknya meminta orang awam supaya terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi mengekang lambakan barangan kontraban.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here