Rugi RM13,150 beli kereta tidak wujud

0
117

KUANTAN: Hasrat seorang anggota tentera membeli kereta Toyota C-HR pada harga murah melalui media sosial membawa padah apabila mendakwa kerugian RM13,150 selepas ditipu penjual tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang,

Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata

mangsa yang berusia 21 tahun mendakwa berminat membeli kereta itu selepas melihat ia diiklankan pada harga RM18,000 di Facebook pada 20 Januari lalu.

Katanya, mangsa mendakwa sudah menghantar pesanan ke aplikasi WhatsApp yang terdapat di iklan itu dan berurusan dengan seorang suspek lelaki.

“Suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat bayaran secara dalam talian, sebelum boleh menerima kereta itu.

“Mangsa mendakwa selesai membayar RM13,150 menerusi tiga transaksi dan berhasrat menyelesaikan bayaran apabila menerima kenderaan itu, namun suspek dikatakan terus mendesak dia membuat bayaran penuh,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, tindakan suspek yang berkeras menuntut baki bayaran sebanyak RM5,000 menyebabkan mangsa berasa curiga dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera, kira-kira 170 kilometer dari sini, semalam.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Mohd Wazir juga menasihatkan orang ramai untuk menyemak kesahihan penjual dan barangan yang dibeli sebelum membuat transaksi wang bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan. – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here