Rumah proses air ketum diserbu

0
179

SEPANG: Polis menyerbu tiga rumah yang disyaki dijadikan tempat memproses air ketum di Putra Perdana, Puchong, di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata dalam serbuan jam 11 malam itu, pihaknya menahan tujuh lelaki tempatan dan masing-masing lelaki dan wanita warga Indonesia berusia 30 hingga 40 tahun.

Beliau berkata, polis merampas 240 kilogram (kg) daun ketum, 152 botol air ketum dan wang tunai berjumlah RM12,325 dalam serbuan di tiga rumah teres dua tingkat berkenaan.

“Turut dirampas masing-masing dua set dapur, set periuk, tong gas serta botol plastik dan alat penimbang dipercayai untuk memproses bahan terlarang ini. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM25,000.

“Dua suspek yang ditahan juga masing-masing positif dadah jenis syabu dan ganja, manakala dua lagi mempunyai rekod jenayah lalu berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di IPD Sepang di sini, hari ini.

Serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan IPD Subang Jaya.

Wan Kamarul berkata, pihaknya melakukan risikan selama tiga minggu hasil aduan awam mengenai aktiviti penjualan air ketum yang beroperasi sejak hampir dua bulan lalu.

“Sindiket ini menyasar penjualan air ketum untuk pasaran sekitar Subang Jaya, Puchong dan Putra Perdana yang dijual pada harga RM20 sebotol dan RM40kg bagi daun ketum.

“Siasatan mendapati, suspek memperoleh bekalan daun ketum dari Hilir Perak menggunakan khidmat kenderaan perdagangan dan rampasan adalah yang terbesar sepanjang tahun ini,” katanya.

Katanya, lima suspek direman bermula semalam sehingga Sabtu ini, manakala empat lagi dibebaskan dengan jaminan polis.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau boleh dipenjara tidak lebih empat tahun,” katanya.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here