Rusa jinak di Balai Bomba Jeli

0
143

JELI: Balai Bomba dan Penyelamat Jeli mencipta kelainan apabila menjadi satu-satunya balai yang memiliki pusat komuniti ternakan rusa, sejak Disember tahun lalu.

Dua rusa jantan dan tiga betina kini menjadi tarikan di balai terbabit yang mana haiwan berkenaan dijaga rapi oleh anggota bomba secara bergilir-gilir dan ditempatkan dalam sebuah kandang di dalam kawasan balai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim, berkata tujuan utama penternakan rusa itu bukan sahaja untuk memupuk kesedaran mengenai kepentingan industri penternakan, malah sebagai satu daya tarikan untuk orang ramai berkunjung ke balai bomba berkenaan.

Lebih menarik, katanya, apabila kesemua rusa terbabit diberi gelaran sempena nama peralatan bomba iaitu Nozel, Suction, Coupling, Hydrant dan Spindle yang mana ia dipilih dan dipersetujui oleh anggota bomba di balai terbabit.

“Pada mulanya, kami hanya menternak empat ekor rusa yang diberi oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, sebelum menerima kelahiran baru sebulan kemudian iaitu seekor anak rusa jantan.

“Ia adalah rezeki kami kerana menerima seekor rusa betina yang bunting, sekali gus dapat menambahkan jumlah ternakan di sini,” katanya ketika ditemui di Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, di sini, semalam.

Mohd Adni berkata, bagi proses penjagaan, anggota yang tidak bertugas bertanggungjawab memberi makan rumput atau dedak selain memastikan kesemua ternakan dalam keadaan baik agar tidak terkena jangkitan penyakit atau kuman.

Katanya, sejak menjalankan ternakan rusa itu, pihaknya mendapat banyak panggilan daripada pelbagai agensi serta institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Politeknik Jeli.

Katanya, pihaknya banyak merujuk kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar dalam memastikan cara penjagaan rusa yang betul selain mempunyai anggota yang komited dalam projek penternakan berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima banyak respon positif daripada pelbagai pihak yang mengganggap ternakan rusa di balai bomba sesuatu yang menarik, tidak kurang juga yang bertanya cara memulakan ternakan terbabit, terutama membabitkan kawasan tempat kerja.

“Saya sendiri tidak menyangka idea menternak rusa ini mendapat perhatian ramai, tambahan pula kami mengalu-alukan orang awam untuk datang sendiri ke sini melihat rusa yang jinak secara percuma.

“Bagaimanapun, jumlah pengunjung terpaksa dihadkan dahulu buat sementara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Rusa di sini, seperti ‘mainan’ baharu buat anggota yang mana akan sama-sama membantu menjaganya, secara tidak langsung mengeratkan hubungan antara anggota selain sebagai ‘pengubat’ tekanan kerja,” katanya.

Selain ternakan rusa, balai bomba itu memiliki sangkar dengan pelbagai spesies burung dan kolam ikan selain turut mengusahakan kebun sayur-sayuran seperti sawi dan kailan.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here