Saksi 1MDB sakit, hakim arah buat ujian calitan COVID-19

0
167

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes Datuk Seri Najib Razak membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pagi ini ditangguhkan berikutan saksi ke-10 pendakwaan tidak sihat.

Terdahulu, sebaik saja prosiding perbicaraan bermula kira-kira jam 9.45 pagi, Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Mustaffa P Kunyalam, memaklumkan mahkamah bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abd Rahman, mengalami simptom demam.

“Pihak pendakwaan tidak akan mendengar keterangan Mohd Hazem hari ini, memandangkan beliau mendapat cuti sakit,” katanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarah pendakwaan supaya meminta saksi membuat ujian calitan COVID-19 dan memanggil saksi baharu untuk memberi keterangan pada jam 11 pagi ini.

Mustaffa, bagaimanapun memaklumkan saksi seterusnya berusia lebih 70 tahun dan memerlukan masa untuk hadir ke mahkamah.

Collin kemudian mengarahkan prosiding perbicaraan kes bersambung jam 1 tengah hari.

Mustaffa ketika dihubungi media mengesahkan pihak pendakwaan akan memanggil Bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Kabinet) Bahagian Kabinet Perlembagaan dan Perhubungan Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Mazidah Abdul Majid, bagi memberi keterangan, hari ini.

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Sumber: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here