SASMEC kini pusat rawatan pesakit Covid-19

0
63

Kuantan: Pusat Perubatan Sultan Ahmad [email protected] (SASMEC @IIUM) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di sini, kini diberi peranan sebagai pusat rawatan pesakit Covid-19.

Pengarahnya, Prof Datuk Dr Mohamed Saufi Awang berkata, keputusan itu dimeterai selepas mesyuarat koordinasi yang diadakan antara Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dengan pihak pengurusan hospital swasta di daerah ini.

Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berikutan pertambahan jumlah kes Covid-19 di Pahang sejak Disember tahun lalu, SASMEC @IIUM membantu JKNP dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan dalam proses mengambil sampel ujian calitan yang diterima bagi mempercepatkan lagi keputusan ujian saringan penyakit berkenaan.

“Bermula pertengahan bulan lalu SASMEC @IIUM sudah menjadi sebuah hospital yang berkonsepkan hibrid, di mana kami merawat pesakit Covid-19 dan juga pesakit lain.

“Sehingga kini kami berjaya merawat seramai 13 pesakit Covid-19 dan sebanyak 4,600 sampel ujian saringan Covid-19 di daerah ini diterima bagi membantu PKD Kuantan mempercepatkan proses keputusan saringan penyakit berkenaan,” katanya ditemui selepas merasmikan mesyuarat perancangan strategik SASMEC @IIUM, di sini semalam.

Sementara itu, Pakar Mikrobiologi Klinikal, Penyelaras Unit Pencegahan dan Kawalan Jangkitan SASMEC @IIUM, Dr Norhidayah Kamarudin berkata, pihaknya mempunyai tiga wad khas untuk merawat pesakit Covid-19, 14 katil di wad utama dan sekiranya keadaan memerlukan ia boleh ditambah menjadi 21 katil.

“Kami juga mempunyai dua lagi wad saringan Covid-19 yang berperanan sebagai wad untuk menyaring pesakit bagi memastikan mereka bebas daripada jangkitan penyakit berkenaan dan satu lagi wad untuk menyaring pesakit yang mempunyai simptom serta memerlukan saringan melalui Polymerase Chain Reaction (PCR).

“Kita kini mampu menerima kira-kira 150 sampel sehari daripada PKD Kuantan dan sekiranya perlu turut akan membantu melakukan saringan Covid-19 dalam skala yang besar,” katanya.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here