SC siasat sindiket disyaki dalangi 5 skim pelaburan haram

0
67

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sedang menyiasat satu sindiket yang disyaki mendalangi lima skim pelaburan tidak berlesen termasuk dua skim firma klon, yang menipu ratusan pelabur membabitkan jumlah pelaburan lebih RM7 juta.

Susulan aduan dan maklumat daripada orang ramai, SC baru-baru ini menyerbu beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan merampas rekod serta peranti digunakan sindiket itu.

SC dalam kenyataan hari ini, berkata pihaknya turut merampas pelayan (server) yang digunakan sindiket itu dalam menjalankan skim penipuan dan siasatan dijalankan atas kesalahan mengikut Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

“Siasatan awal menunjukkan sindiket berkenaan menjalankan sekurang-kurangnya lima skim pelaburan tidak berlesen sejak 2016 iaitu Amal Trust (juga dikenali sebagai Wakala Ventures atau AML Global); Asia Equity Ventures; Equity Global Business; Lindale Ventures dan Waheed Ventures (turut dikenali sebagai Waheed Trading atau Wadeed Global Ventures).

“Susulan itu, orang ramai yang berurusan dengan skim tidak berlesen ini atau dengan wakilnya diminta tampil memberikan maklumat yang berkaitan kepada pihak SC dengan menghubungi 012-6113519 atau e-mel [email protected],” katanya.

Katanya, semua lima skim itu dimasukkan dalam Senarai Peringatan Pelabur SC dan pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat laman web berkaitan.

“SC ingin mengingatkan pelabur supaya sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutama yang menjanjikan pulangan sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko.

“Pelabur juga disarankan supaya mendapatkan bimbingan penasihat berlesen yang sah, selain mereka perlu mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman web SC di www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-o…,” katanya – BERNAMA

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here