Selangor kutip RM6 juta caj 20 sen beg plastik

0
154

TANJONG KARANG: Sebanyak RM6 juta dikutip daripada orang ramai menerusi caj 20 sen bagi setiap beg plastik sejak Selangor melaksanakan kempen ‘Bebas Beg Plastik’ bermula 1 Januari 2017.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata hasil kutipan itu akan digunakan untuk kempen kesedaran awam dan mendidik masyarakat dalam usaha mengurangkan penggunaan beg plastik yang menjadi punca pencemaran alam sekitar.

Bagaimanapun beliau berkata tahap kesedaran orang ramai terhadap pencemaran alam sekitar masih rendah kerana ramai masih sanggup membayar caj terbabit.

“Kita lihat masyarakat tidak kisah membayar 20 sen sehingga ada yang mencadangkan supaya dinaikkan kepada 50 sen.

“Untuk itu, kerajaan mengadakan pelbagai kempen kesedaran awam dan pendidikan untuk mendidik masyarakat supaya mengurangkan penggunaan beg plastik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Beg Guna Semula (BAGUS) di Pasar Pagi Pekan Tanjong Karang, di sini, hari ini.

 

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Rozana Zainal Abidin dan Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) Muhammad Yusli Askandar.

Mengulas mengenai pelancaran BAGUS, Mohd Zawawi berkata, sebanyak 10,000 beg guna semula akan diedarkan di semua daerah bermula hari ini dengan Kuala Selangor sebagai daerah pertama.

Beliau berkata, jumlah itu akan ditambah sekiranya menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Kerajaan menggalakkan masyarakat sentiasa membawa beg itu apabila berbelanja di pasar, pasar raya atau kedai,” katanya.

Sumber : Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here